Sabtu, 9 Oktober 2010

Penyelidik Jepun Perkenalkan Model Robot Ganti Buruh


Proses penggantian manusia kepada penggunaan mesin dan jentera di tempat kerja melangkah setapak lagi apabila penyelidik Jepun memperkenalkan model robot yang dijangka mampu melakukan tugas buruh yang selama ini hanya mampu dilakukan manusia.

Pengeluarnya, Kawada Industries dan Institut Nasional Sains dan Teknologi Perindustrian Lanjutan (AIST) berharap, robot itu akan menjadi pencetus model yang dapat membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh negara itu yang mana warga tuanya semakin bertambah.

“Kami mereka bentuk robot bekerja dalam imej yang sederhana tetapi lasak seperti atlet padang dan balapan,” kata Pengurus Sistem Robotik Kawada, Noriyuki Kanegira pada sidang media melancarkan ‘HRP-4’.

Ia direka bentuk bagi membantu menyelidik membangunkan model yang berupaya menggantikan manusia dalam tugasan manual dan menjadi model ‘atlet’ terkini yang dihasilkan dalam tempoh hampir 10 tahun.


Pengeluaran kali ini adalah lebih serius seperti disebut dalam kenyataan bersama kedua-dua pembangun model itu.

“Ia menjadi tugasan terpenting Jepun untuk membangunkan robot yang berupaya melaksanakan tugasan ringkas dan berulang dalam usaha memenuhi pasaran buruh dalam negara yang semakin ramai penduduk tua dan keluarga yang semakin kecil,”katanya.

Model setinggi 151 sentimeter itu mampu berdiri di atas satu kaki, memusingkan pinggangnya, membuat pos ketika bergambar, berupaya memahami arahan suara dan menjejaki objek menggunakan kepalanya.

HRP-4 mempunyai otot yang bergerak secara lebih bebas berbanding model terdahulu dan mampu mengendalikan aplikasi perisian yang dibangunkan secara berasingan.

Kawada dan AIST akan mula menjual robot itu ke universiti dan institusi penyelidikan di Jepun dan seluruh dunia bermula Januari tahun depan.

Harga bagi HRP-4 yang dikatakan model ‘kos rendah’ itu adalah AS$306,000. Pemajunya berharap dapat menjual antara tiga dan lima unit setahun. - AFP