Selasa, 5 Oktober 2010

KTMB dapat 14 gerabak Blue Train


Dipetik dari KOSMO! 5hb Oktober 2010

Kuala Lumpur - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka mampu menampung lebihan penumpang khususnya pada musim perayaan apabila bakal menerima 14 buah gerabak Blue Train secara percuma daripada Japanese Railway Kyushu dan japanese Railway East pada akhir tahun ini.

Menurut Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan, sumbangan itu adalah ekoran kunjungan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat ke Jepun awal tahun ini.

Katanya, memorandum persefahaman (MoU) antara KTMB dengan kedua-dua syarikat terkemuka dalam pembuatan keretapi itu telah ditandatangani minggu lalu.

"Jika semuanya mengikut jadual, kesemua gerabak itu akan mula beroperasi selewat-lewatnya Januari tahun depan," ujarnya.

Menurut Aminuddin, meski pun usia Blue Train yang akan digunakan untuk perkhidmatan KTM antara bandar Pantai Timur telah menjangkau 30 tahun, namun spesifikasi enjin dan gerabak itu masih baik.

Katanya, gerabak itu mempunyai kapasiti 300 penumpang.