Khamis, 24 Februari 2011

"Kamen Rider Hibiki" Berkahwin


Hosokawa Shigeki telah berkahwin dengan Mise Mamiko seperti yang dimaklumkan kepada media melalui faks yang dihantar pada 2 Februari.

Namun, selama ini tiada sebarang maklumat tentang hubungan mereka dilaporkan.

Hasokawa paling terkenal sebagai watak siri Kamen Rider Hibiki yang disiarkan sekitar tahun 2005 dan 2006, namun dia telah muncul dalam banyak drama dan filem sejak pertengahan tahun 1990an.

Mise pula adalah sebahagian daripada kumpulan Shape Up Girls ketika tahun 1990an dan dia merupakan ahli terakhir kumpulan tersebut yang berkahwin.

Selasa, 22 Februari 2011

Anime Keroro Gunso Ditamatkan Pada Mac


Studio anime Sunrise mengumumkan bahawa siri anime televisyen Keroro Gunso akan ditamatkan 'buat sementara waktu' pada bulan Mac.

Selepas tujuh tahun disiarkan, episod terakhir istimewa akan ditayangkan pada 26 Mac di Jepun, diikuti siaran istimewa kedua pada 27 Mac di kawasan siaran TV Tokyo sahaja.

Sejak tahun lalu, Keroro Gunso telah ditayangkan selama 15 minit sahaja di mana slot pagi ini dikongsi bersama SD Gundam Sangokuden Brave Battle Warriors.

Namun bagi episod terakhir kelak, versi 30 minit akan ditayangkan bagi slot pagi Sabtu di rangkaian TV Tokyo dan versi satu jam untuk slot malam Ahad di kawasan liputan TV Tokyo sahaja.

Isnin, 14 Februari 2011

Cinta Baru Nakamura Shido

Nakamura Shido mungkin akan berkahwin lagi. Majalah Friday melaporkan bahawa bintang Kabuki dan teman wanitanya baru-baru ini telah membeli cincin perkahwinan.

Wartawan menyerbu Nakamura selepas satu persembahan di Tokyo dan dia mengakui hubungan ini, membuka cermin matanya sebagai tanda kejujuran.. Cinta baru Nakamura ini digambarkan sebagai seorang pekerja pejabat yang tamat belajar dari Universiti Waseda yang berprestij dan pernah muncul dalam majalah fesyen.

Pasangan ini dikatakan berkenalan disatu parti ketika musim panas lalu dan kini tinggal bersama di apartment Nakamura di bandar Shonan, Wilayah Kanagawa.

Selepas penceraiannya dengan Takeuchi Yuko (dengan anak lelaki berusia 5 tahun) pada tahun 2008, Nakamura ada dikaitkan dengan Kuroki Meisa. 

Dia kini muncul di Le Theatre Ginza, dalam sebuah penerbitan yang menggantikan pertunjukan Ichikawa Ebizo yang baru-baru ini cedera akibat diserang.

Shiina Ringo Menjadi Model Dalam Iklan Kosmetik Macquillage Baru


Shiina Ringo akan menjadi model iklan kosmetik buat kali pertama, di dalam iklan terbaru Macquillage di bawah jenama Shiseido.

Ia dijadualkan akan mula disiarkan di Jepun mulai 20 Februari ini. Shiina juga akan menyanyikan lagu tema berjudul Onna no Ko wa Daredemo (Siapa Wanita).

Dia menulis lagu tersebut khas untuk iklan ini.

Selasa, 1 Februari 2011

Byakuyako dan Heaven’s Story Ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-61

Filem pengarah Fukugawa Yoshihiro, Byakuyako (Perjalanan Malam Terang) yang dibintangi oleh Horikita Maki dan Kora Kengo telah dipilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-61 yang diadakan pada 10 hingga 20 Februari.

Filem ini akan menjadi sebahagian daripada seksyen Panorama yang menampilkan karya baru daripada pengarah-pengarah terkenal. Pada tahun 2010, filem Parade arahan Yukisada Isao ditayangkan pada seksyen yang sama dan menerima salah satu anugerah Prizes of the FIPRESCI Juries.

Byakuyako adalah berdasarkan novel nukilan Higashino Keigo dengan judul yang sama di mana ia menjadi drama televisyen pada tahun 2006 dan dibintangi oleh Yamada Takayuki dan Ayase Haruka. Filem tersebut baru sahaja ditayangkan di Jepun pada 29 Januari.

Ia juga didedahkan bahawa Heaven’s Story arahan Takahisa Zeze akan ditayangkan di seksyen Forum. Filem tersebut adalah sepanjang 4 jam 38 minit.

Bintang GANTZ Hadiri Majlis Pentas Pada Hari Yang Sama di Amerika dan Jepun


Dua pelakon utama filem aksi sebenar GANTZ iaitu Matsuyama Kenichi dan Ninomiya Kazunari membuat pengenalan pentas untuk filem tersebut di Jepun dan Amerika pada hari yang sama. Ini merupakan kali pertama dilakukan dalam industri filem Jepun.

Pada pagi 20 Januari, mereka menghadiri majlis di sebuah teater di Roppongi, Tokyo. Selepas itu, mereka menaiki kapal terpang ke Los Angeles untuk menghadiri majlis yang sama pada waktu malam di Grauman’s Chinese Theatre di Hollywood.

Seperti yang diumumkan, majlis di Hollywood adalah untuk tayangan perdana GANTZ dan rakaman majlis Matsuyama serta Ninomiya akan ditayangkan ke 300 buah pawagam di seluruh Amerika yang turut menayangkan filem tersebut.

GANTZ ditayangkan secara rasmi di Jepun seminggu kemudian pada 29 Januari manakala filem susulan dijadualkan untuk ditayangkan pada 23 April.

Kichise Michiko Berkahwin Pada Hari Krismas

Kichise Michiko mengumumkan dalam blognya bahawa dia telah berkahwin pada Hari Krismas. Dia berkata telah bertemu suaminya 5 tahun yang lalu semasa ingin bertukar kerjaya dari permodelan kepada lakonan.

Suaminya dikatakan adalah seorang usahawan berusia 40an yang bekerja di Jepun dan luar negara.

Berdiri setinggi 167 cm, Kichise telah ditemui oleh agensi Asakura, Wilayah Fukuoka. Dia berpindah ke Tokyo pada usia 20 tahun di mana dia bekerja untuk majalah fesyen dan iklan tv.

Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikannya memenangi pelbagai anugerah untuk kemunculan dalam tv seperti drama Liar Game dan Bloody Monday. Dia mendapat watak utama drama pertamanya melalui Mousou Shimai (Adik-Beradik Paranoid) pada tahun 2009.