Selasa, 1 Februari 2011

Byakuyako dan Heaven’s Story Ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-61

Filem pengarah Fukugawa Yoshihiro, Byakuyako (Perjalanan Malam Terang) yang dibintangi oleh Horikita Maki dan Kora Kengo telah dipilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-61 yang diadakan pada 10 hingga 20 Februari.

Filem ini akan menjadi sebahagian daripada seksyen Panorama yang menampilkan karya baru daripada pengarah-pengarah terkenal. Pada tahun 2010, filem Parade arahan Yukisada Isao ditayangkan pada seksyen yang sama dan menerima salah satu anugerah Prizes of the FIPRESCI Juries.

Byakuyako adalah berdasarkan novel nukilan Higashino Keigo dengan judul yang sama di mana ia menjadi drama televisyen pada tahun 2006 dan dibintangi oleh Yamada Takayuki dan Ayase Haruka. Filem tersebut baru sahaja ditayangkan di Jepun pada 29 Januari.

Ia juga didedahkan bahawa Heaven’s Story arahan Takahisa Zeze akan ditayangkan di seksyen Forum. Filem tersebut adalah sepanjang 4 jam 38 minit.