Ahad, 22 Mei 2016

Bandai Namco Pictures Daftar 'Hebotto!'

Bandai Namco Pictures telah mendaftarkan tanda dagangan untuk 'Hebotto!'. Tanda dagangan ini akan digunakan untuk animasi, permainan video, permainan video konsol rumah, permainan papan, muzik serta barangan seperti makanan, minuman, poster, alat tulis dan produk kertas.

Bandai Namco Pictures secara rasminya telah dilancarkan pada penghujung bulan April lalu. Syarikat ini akan menguruskan harta intelek Sunrise yang disasarkan untuk kanak-kanak serta keluarga seperti siri anime Aikatsu!.

Syarikat ini sebelumnya telah mendaftarkan tanda dagangan "Aikatsu Star!" pada bulan Februari yang kemudiannya didedahkan untuk siri anime TV dan filem anime.


Yasushi Akimoto Suka Gadis Berambut Pendek?


Bagi peminat setia kumpulan AKB 48 Family, adakah anda sedar persamaan dalam kumpulan idola ini? Rupanya, kebanyakan Center untuk kumpulan 48 Family yang terpilih bukan dari hasil undian sebahagian besarnya berambut pendek!

Nampaknya, Yasushi Akimoto (gambar) memang menyukai gadis berambut pendek. Hal ini didedahkan selepas Minami Takahashi yang muncul dalam acara TV AKB to XX telah menjawab beberapa soalan yang dilontarkan kepadanya.

Pada soalan ke-7, Takamina telah ditanya: "Adakah anda ada soalan yang selalu ingin ditanyakan kepada Yasushi Akimoto?"

Takamina pun menjawab: "Awak benar-benar menyukai gadis berambut pendek, bukan?"

Malah Takamina juga telah mendedahkan dia pernah disaran oleh pihak atasan supaya memotong pendek rambutnya!


Buku Fesyen Untuk Otaku

Otaku pada umumnya memiliki imej yang buruk di Jepun, termasuklah dari segi gaya pemakaian mereka sehari-hari. 

Para otaku sering dilihat berpakaian aneh, memakai aksesori anime atau idola kegemaran di seluruh tubuh, lengkap dengan beg galas yang penuh dengan pin serta berkaca mata, di mana ia amat jelas menunjukkan ciri-ciri otaku.

Kuze, seorang penulis dari Jepun telah menghasilkan sebuah buku fesyen untuk para otaku dengan harapan dapat memulihkan semula imej otaku ini dari segi pemakaian.

Buku yang bertajuk No More Mistake Ex-Otaku Fashion Bible (Kitab Bekas Otaku Tanpa Sebarang Kesilapan Lagi) ini telah mula dipasarkan pada 18 Mac lalu.

Muka depan buku ini diilustrasikan oleh Namori, seorang mangaka yang terkenal dengan karyanya, YuruYuri. Ilustrasi di dalam buku pula dihasilkan oleh Mizuki Toko.

Adakah anda memiliki teman yang berpakaian seperti otaku? Atau mungkin anda sendiri memerlukan buku ini!