Pengunjung melawat rumah hantu The Cursed Tooth. |
Tokyo - Berjuta-juta penduduk Jepun pulang ke kampung halaman pada 15 Ogos lalu untuk meraikan roh nenek moyang mereka sempena perayaan Obon.
Disamping upacara meraikan orang mati, Obon turut menampilkan pelbagai acara meriah termasuk pertunjukan bunga api dan tarian pakaian 'yukata' atau kimono musim panas.
Pada perayaan tersebut, pelbagai kisah hantu dan puaka diceritakan dengan berpuluh-puluh rumah hantu dibuka di seluruh negara pada orang ramai.
"Seram sejuk adalah perasaan yang dapat saya ungkapkan." kata Sayaka Makabe, seorang pelajar selepas melawat rumah hantu The Cursed Tooth di Tokyo Dome di sini.
Masyarakat Jepun percaya pada hari tersebut, roh nenek moyang mereka akan kembali ke bumi selama beberapa hari sebelum pulang semula ke alam baqa.
Pada akhir perayaan tersebut, sejumlah bot kecil yang dipasang tanglung dihanyutkan untuk memudahkan roh nenek moyang pulang ke syurga. - Agensi.