Ahad, 8 September 2013

Mesin Jualan Membekalkan Info Bencana

Mesin jualan yang menjual pelbagai jenis barangan boleh ditemui di merata-rata tempat di seluruh Jepun. Termasuklah di puncak Gunung Fuji. Kini, sekali lagi orang Jepun memberikan erti baru kepada mesin jualan menjadikannya sebuah alat untuk menyelamatkan nyawa apabila berlaku bencana alam.

Sebelum ini, kami ada melaporkan mesin jualan minuman yang boleh beroperasi ketika bekalan elektrik terputus. Ia mempunayi bateri simpanan yang boleh dicaj semula apabila pengguna memutar alat pemutarnya. Namun, mesin yang diperkenalkan kali ini agak berlainan sedikit.

Shell sudah. BP sudah. Petron pun sudah. Bila Idemitsu nak masuk Malaysia?
Projek mesin jualan semasa bencana ini diusahakan oleh tiga pihak iaitu Dai Nippon Printing (DNP), Nippon Televisyen Network dan juga syarikat pembotolan DyDo. Ditempatkan di stesen-stesen minyak Idemitsu, mesin ini bernama penuh Mesin Jualan Penanda Digital Penyampai Informasi Bencana.

Ia boleh menunjukkan lokasi tandas, pusat pengungsian serta pelbagai maklumat berguna yang berkaitan dengan bencana berkenaan kepada orang awam. Selain daripada itu, sudah pasti ia akan menjual minuman. DyDo berjanji akan menggunakan keuntungan dari jualan minuman ke atas kos pengendalian penanda digital. Maknanya masin ini dapat ‘menyara hidup sendiri’.

Untuk peringkat seterusnya, ketiga-tiga syarikat tersebut bercadang menempatkan sekurang-kurangnya 100 buah mesin ini di sekolah, hospital dan lokasi perhimpunan yang luas menjelang tahun 2015.