Ahad, 8 September 2013

Pengarah Pacific Rim Lawat Patung Gundam di Odaiba

Pengarah Pacific Rim iaitu Guillermo del Toro telah melawat patung Gundam berskala sebenar yang setinggi kira-kira 18 meter yang telah kembali ke kompleks Diver City Tokyo yang terletak di Pulau Odaiba pada tahun lalu.

Del Toro melakukan lawatan khas ke Pulau Odaiba untuk melihat sendiri patung Gundam bersama dengan dua orang aktres dari filemnya iaitu Kikuchi Rinko dan dan Ashida

Filem Pacific Rim telah mula ditayangkan di Jepun dan filem ini mengisahkan tentang perang masa depan diantara manusia dan makhluk dikenali sebagai kaiju (membawa maksud rasaksa dalam bahasa Jepun).

Del Toro telah meminta juruanimasi untuk Blood: The Last Vampire iaitu Katsuya Terada dan Yoji Shinkawa (Metal Solid) untuk hasilkan poster untuk pasaran Jepun.

Filem ini mendapat pujian termasuklah dari Hideo Kojima (Metal Solid), pelopor manga dan anime Go Nagai serta pereka karakter Evangelion, Yoshiyuki Sadamoto.


Nenek Umur 90 Tahun Cipta Rekod Dunia Larian 100 Meter

Berapakah rekod masa larian 100 meter anda? Jika lebih lambat daripada 23.8 saat, anda tertewas kepada seorang nenek Jepun yang berumur 90 tahun.

Pada 28 Julai lalu, Siri Kejohanan Veteran Atlit Kyuushu ke 30 telah diadakan di Stadium Sukan Kagoshima. Bertanding dalam kategori 100 meter wanita berumur 90 tahun dan ke atas, Morita Mitsu dari Yatsushiro, Wilayah Kumamoto berjaya memecahkan rekod Jepun 50.9 saat dengan masa yang disebut  di atas!

Selepas pertandingan, Nenek Mitsu memberikan komennya: “Memang sayang sekali sebab saya pernah mencapai rekod 21 saat semasa berlatih. Pada masa akan datang, saya akan mencabar rekod dunia 23.18 saat.”

Sebenarnya, Nenek Mitsu merupakan pemegang rekod dunia sebelum ini. Pada tahun 2003, dia memecahkan rekod dunia dalam kategori 200 meter wanita berumur 80-84 tahun dengan masa 40.78 saat. Pada tahun 2005 pula, dia berada kategori wanita 85-89 tahun, mencipta dua rekod dunia iaitu 100 meter (19.83 saat) dan 200 meter (45.65 saat). Saksikan klip video mengenai Nenek Mitsu yang dibuat dua tahun lalu di: http://tiny.cc/ljlqw


Mesin Jualan Membekalkan Info Bencana

Mesin jualan yang menjual pelbagai jenis barangan boleh ditemui di merata-rata tempat di seluruh Jepun. Termasuklah di puncak Gunung Fuji. Kini, sekali lagi orang Jepun memberikan erti baru kepada mesin jualan menjadikannya sebuah alat untuk menyelamatkan nyawa apabila berlaku bencana alam.

Sebelum ini, kami ada melaporkan mesin jualan minuman yang boleh beroperasi ketika bekalan elektrik terputus. Ia mempunayi bateri simpanan yang boleh dicaj semula apabila pengguna memutar alat pemutarnya. Namun, mesin yang diperkenalkan kali ini agak berlainan sedikit.

Shell sudah. BP sudah. Petron pun sudah. Bila Idemitsu nak masuk Malaysia?
Projek mesin jualan semasa bencana ini diusahakan oleh tiga pihak iaitu Dai Nippon Printing (DNP), Nippon Televisyen Network dan juga syarikat pembotolan DyDo. Ditempatkan di stesen-stesen minyak Idemitsu, mesin ini bernama penuh Mesin Jualan Penanda Digital Penyampai Informasi Bencana.

Ia boleh menunjukkan lokasi tandas, pusat pengungsian serta pelbagai maklumat berguna yang berkaitan dengan bencana berkenaan kepada orang awam. Selain daripada itu, sudah pasti ia akan menjual minuman. DyDo berjanji akan menggunakan keuntungan dari jualan minuman ke atas kos pengendalian penanda digital. Maknanya masin ini dapat ‘menyara hidup sendiri’.

Untuk peringkat seterusnya, ketiga-tiga syarikat tersebut bercadang menempatkan sekurang-kurangnya 100 buah mesin ini di sekolah, hospital dan lokasi perhimpunan yang luas menjelang tahun 2015.


Komatsu Ayaka Mengharapkan Perhimpunan Semula Pretty Guardian Sailor Moon

Semasa ditemu ramah untuk filem barunya: Talk To The Dead, Komatsu Ayaka berkata dia amat mengharapkan perhimpunan semula Pretty Guardian Sailor Moon, siri drama adaptasi shojo manga popular Sailor Moon yang disiarkan dari tahun 2003 hingga 2004.

Dalam siri tersebut, Komatsu memegang watak Sailor Venus. Ia merupakan watak utama pertamanya dalam siri televisyen.

Menurut Komatsu, baru-baru ini adanya projek DVD Ninpuu Sentai Hurricaneger: 10 Years After, makadia merasa Pretty Guardian Sailor Moon yang juga menyambut ulang tahun ke 10 harus mempunyai projek sedemikian.

“Walau pun 10 tahun sudah berlalu, setiap kali kami (para aktres) keluar bersama, kami masih mempunyai semangat tinggi seperti waktu penggambaran.” Kata Komatsu.

"Mungkin kami sudah tak sesuai memakai sut Sailor tetapi saya benar-benar ingin melakonkan kisah 10 tahun kemudian." Tambahnya lagi.


Selasa, 3 September 2013

Puting Beliung Landa Timur Jepun

Tokyo - Puting beliung yang melanda timur Jepun semalam menyebabkan berpuluh-puluh cedera dan sekurang-kurangnya seorang parah selain memusnahkan sejumlah bangunan.

Polis di wilayah Saitama dekat Tokyo menyatakan bahawa seramai 63 orang dilaporkan cedera. Butiran lanjut berhubung kecederaan mereka tidak diketahui.

Agensi berita Kyodo melaporkan, puting beliung menjejaskan bekalan elektrik, menerbangkan bumbung sejumlah rumah serta merosakkan tingkap-tingkap di sebuah sekolah rendah.

Menurut polis, enam rumah musnah di Saitama sementara 83 buah rumah lagi rosak sebahagian.

Puting beliung turut membadai sebahagian kawasan berdekatan termasuk wilayah Chiba - AP


Masyarakat Jepun Sambut Bulan Hantu

Pengunjung melawat rumah hantu The Cursed Tooth.
Tokyo - Berjuta-juta penduduk Jepun pulang ke kampung halaman pada 15 Ogos lalu untuk meraikan roh nenek moyang mereka sempena perayaan Obon.

Disamping upacara meraikan orang mati, Obon turut menampilkan pelbagai acara meriah termasuk pertunjukan bunga api dan tarian pakaian 'yukata' atau kimono musim panas.

Pada perayaan tersebut, pelbagai kisah hantu dan puaka diceritakan dengan berpuluh-puluh rumah hantu dibuka di seluruh negara pada orang ramai.

"Seram sejuk adalah perasaan yang dapat saya ungkapkan." kata Sayaka Makabe, seorang pelajar selepas melawat rumah hantu The Cursed Tooth di Tokyo Dome di sini.

Masyarakat Jepun percaya pada hari tersebut, roh nenek moyang mereka akan kembali ke bumi selama beberapa hari sebelum pulang semula ke alam baqa.

Pada akhir perayaan tersebut, sejumlah bot kecil yang dipasang tanglung dihanyutkan untuk memudahkan roh nenek moyang pulang ke syurga. - Agensi.