Jumaat, 28 Jun 2013

Filem Akira Berlatarkan Manhattan

Gary Whitta (gambar kiri) selaku penulis skrip filem aksi sebenar Akira telah ditemubual oleh laman web filem Collider tetang projek ini dan mengaku sedang cuba seimbangkan antara estetika barat dan kehendak peminat.

Menurut Whitta lagi, pihak produksi sering berdepan dengan masalah peminat tidak suka melihat filem ini menerima pengaruh barat sedangkan sukar untuk dapat keuntungan apabila kesemua pelakonnya adalah dari Jepun.

Whitta mendakwa, filem ini perlu menerima pengaruh barat walau pun ia kedengaran sebagai gurauan - misalnya Shia LaBeouf membawa watak sebagai Tetsuo.

Ramai peminat sukar terima kenyataan ini. Whitta cuba cari keseimbangan dengan merakamkan filem ini di "New Tokyo". Dalam versi skrip filem ini, Amerika yang berdepan dengan masalah ekonomi telah menjual Manhattan kepada Jepun, lantas bandar New Tokyo telah dibangunkan.Dengan idea ini, filem ini dapat diseimbangkan antara pengaruh barat dan Jepun.

Pembikinan filem ini dihentikan sebaik saja Garret Hedlund (TRON: Legacy) telah diuji bakat sebagai watak Kaneda. Malah, terdapat khabar angin melibatkan pelakon seperti Kristen Stewart, Gary Oldman dan Helena Bonham Carter. 

Majalah Hollywood Reporter melaporkan pada 2012 produksi filem ini terpaksa dihentikan berikutan masalah bajet dan pelakon. 

Tiada perkembangan terkini tentang projek ini sejak diumumkan, malahan pengarah Collet-Serra telah menerima tawaran untuk mengarah filem Non-Stop terbitan Dark Castle Productions yang bakal ditayangkan pada tahun ini.


Filem Terbaru Kamen Rider Tertua


Pelakon Takanori Jinnai (filem aksi sebenar Detective Conan) bakal membawa watak sebagai "Golden Wizard" Kamen Rider Sorcerer, filem Kamen Rider Wizard.

Jinnai yang kini berusia 54 tahun akan menjadi pelakon paling tua membawa watak sebagai Kamen Rider yang dulunya dipegang oleh Hiroyuki Watanabe yang pernah bawa peranan sebagai Kamen Rider Gaoh di dalam Kamen Rider Den-O: I'm Born! pada usia 51 tahun.

Kamen Rider Wizard adalah siri aksi sebenar terbaru untuk francais Kamen. Filem ini akan ditayang di seluruh Jepun pada 3 Ogos bersama dengan Zyuden Sentai Kyoryuger: The Movie.


Hello Kitty Berambut Afro!

Santastic! Pemilik jenama pakaian dan artis manga Santa Inoue (Tokyo Tribes) kini telah bekerja sama dengan karakter Hello Kitty dari Sanrio untuk menghasilkan rekaan Hello Kitty "Afro".

Foto yang menampilkan Inoue sedang menunjukkan salah satu daripada produk yang menggunakan karakter Hello Kitty bergaya Afro telah disiarkan menerusi akaun Twitternya.

Isnin, 17 Jun 2013

Aksi Buruk Samurai Biru

Pengendali Jepun, Alberto Zaccheroni terkejut dengan prestasi buruk anak buahnya selepas tewas ditangan tuan rumah, Brazil, 3-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Konfederasi 2013, awal pagi semalam.

Jaringan awal Neymar pada minit ketiga seolah-olah dilihat sebagai punca kepada persembahan buruk anak buah Zaccheroni.

Brazil kemudiannya melebarkan jurang gol menerusi jaringan Paulinho dan Jo di babak kedua permainan.

"Biasanya kami hanya melakukan sedikit kesalahan tetapi semuanya tidak menjadi hari ini (semalam). Gol awal itu membuatkan kami cemas. Kami tidak bermain seperti biasa. Mungkin kami penat kerana tidak mempunyai waktu rehat yang cukup selepas menempuh perjalanan panjang." Katanya.

Samurai Biru selepas ini perlu menang ke atas Itali dalam perlawanan berikutnya bagi memastikan mereka tidak pulang awal.


Ahad, 16 Jun 2013

Tokyo Skytree Raikan Ulang Tahun Pertama



Pada 22 Mei lalu, Tokyo Skytree meraikan ulang tahun pertamanya. Menurut pihak pengurusan Tobu Tower Skytree, sehinggalah 20 Mei, jumlah pengunjung ke menara setinggi 634 meter itu telah mencapai 6.34 juta orang.

Seluruh kawasan Tokyo Skytree meraikan ulang tahunnya sepanjang bulan Mei dengan pelbagai acara seperti perarakan, pesta jalanan dan lain-lain lagi. 

Sebagai watak utama, menara itu sendiri telah dihiasi dengan empat jenis corak lampu termasuklah kombinasi lampu 12 warna dari jam 7 petang hingga 11 malam setiap hari sehingga 4 Jun.


Pembubaran Larangan Anti Perang Ditentang!


Penerbit Studio Ghibli iaitu Toshio Suzuki meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap cadangan Perdana Menteri Shinzo Abe untuk menghapuskan Artikel 9 dari perlembagaan Jepun dalam satu temu bual.

Artikel 9 melarang Jepun daripada menyertai mana-mana perang yang mula diguna pakai selepas Perang Dunia Kedua.

Suzuki menyata sokongannya terhadap Artikel 9 dengan berkata:
“Kita harus menyokong Artikel 9 kerana ia membawa keamanan kepada Jepun dan seluruh dunia. Saya meragui masyarakat di luar Jepun tahu tentang kewujudan Artikel 9. Lagi pun kita memiliki pasukan ketenteraan sendiri. Mereka mungkin tahu tentang ini. Sebab itulah kita harus sebarkan ke seluruh dunia tentang peruntukan ini. Kedamaian tidak mungkin dikecapi Jepun tanpanya.”

Suzuki mula mengenali pengarah Hayao Miyazaki selepas Suzuki menerbitkan majalah Animage untuk pihak penerbit Tokuma Shoten. Manga Miyazaki bertajuk Nausicaa of the Valley of the Wind mula disiarkan di dalam Animage dan Suzuki turut melibatkan diri di dalam produksi filem Miyazaki pada tahun 1984.

Apabila bersara dari Tokuma Shoten pada 2005, dia terpilih untuk menjadi ketua studio Ghibli tetapi bersara pada 2008 dan masih aktif selaku penerbit untuk kebanyakan filemnya.

Isnin, 3 Jun 2013

Apartmen Dojunkai Terakhir Akan Diroboh



Apartmen Dojunkai terakhir yang dibina selepas Gempa Bumi Besar Kanto tahun 1923 akan dirobohkan pada bulan ini.

Dojunkai adalah sebuah koperasi yang ditubuhkan pada 1924 demi membina rumah apartment yang diperkukuhkan terhadap ancaman gempa bumi di kawasan Tokyo. Ia dibubarkan pada tahun 1941.

Apartmen Dojunkai terakhir adalah Apartment Uenoshita yang terletak di kawasan Taito, Tokyo dan masih didiami oleh 65 penduduk.

Dibina pada 1929, lokasi bangunan bersejarah ini akan diganti dengan pembinaan apartmen moden 128 unit kediaman yang dijangka siap pada 2015.


Kokpit Skala Sebenar VF-1 Valkyrie Dipamerkan



 
Laman web rasmi sempena projek ulang tahun ke 30 Macross mengumumkan bahawa pameran Macross: The Museum akan bertempat di Muzium Manga Osamu Tezuka, bandar Takarazuka, Jepun.

Pameran ini akan membayangkan keadaan muzium di dalam dunia Macross pada tahun 2059! Antara tarikan utama termasuklah kokpit bersaiz sebenar dari siri anime Macross iaitu VF-1 Valkyrie, plet memori dari peradaban kuno Protoculture dan albumfoto lagenda Lynn Minmay.

Pelawat boleh menaiki replika pesawat simulator VF-1 dan mengambil gambar. Replika Valkyrie yang lebih kecil pada skala 1/60 akan menunjukkan proses transformasi satu demi satu langkah.

Pameran ini juga akan menunjukkan koleksi pakaian dan mikrofon dari Minmay sehinggalah Sheryl dan Ranka. Pameran ini akan berlangsung dari 28 Jun sehingga 28 Oktober.