Selasa, 28 September 2010

Isuzu terkenal pengeluaran trak

Dipetik dari Sinar Harian: Selasa, 28hb September 2010


Isuzu Motors Ltd adalah syarikat kereta dari Jepun. Ia mengeluarkan kenderaan komersil dan syarikat perkilangan trak berat yang berpusat di Tokyo.

Pada tahun 2005, Isuzu menjadi pengeluar terbesar di dunia untuk pasaran industri lori berat. Ia memiliki kilang di bandar Fujisawa Jepun, serta di wilayah Tochigi dan Hokkaido. Isuzu terkenal dalam menghasilkan kenderaan komersil dan mesin diesel.

Pada 2009, Isuzu berjaya menghasilkan lebih daripada 21,000.000 mesin diesel yang boleh dijumpai dalam kenderaan di seluruh dunia. Sebahagian besar di rantau Asia, Afrika dan Eropah, Isuzu lebih dikenali sebagai jenama pengeluar trak pelbagai ukuran.

Sehubungan kejayaannya menempa nama sebagai pengeluar trak, jualan terhadap kereta jenis sedan dan kompak menunjukkan penurunan drastik pada akhir 1990an.

Sejarah Isuzu bermula pada tahun 1916 apabila sebuah syarikat pembangunan kapal dan kejuruteraan, Tokyo Ishikawajima dan syarikat Electric Industrial Co memeterai usaha sama untuk membina kereta.

Pada 1918, kerjasama teknikal dengan Wolseley Motor Company bermula. Ketika itu, pelbagai penyelidikan dan pembangunan dijalankan dan pada tahun 1922 kereta model Wolseley A-9 (gambar atas) berjaya dibangunkan dan dua tahun kemudian trak CP pula dicipta.

Tahun 1933, Ishikawajima Otomotif Works bergabung dengan DAT Automobile Manufacturing dan perubahan nama menjadi Automobile Industries Co, Ltd. Tahun berikutnya, berlangsung pertemuan dengan Kementerian Perdagangan dan Industri. Pertemuan itu bertujuan menukar jenama lori trak kepada Isuzu. Selepas perbincangan dan pertemuan itu, tahun 1949 nama Isuzu didaftarkan sebagai nama syarikat.

Tahun 1973, model Isuzu Gemini diperkenalkan, ia adalah usaha hasil gabungan bersama General Motors.