Bila sebut sahaja negara Jepun, kita ketahui negara yang popular dengan anime macam Doraemon, Dragon Ball, Crayon Shin-chan, Hachimitsu To Clover dan sebagainya. Rakyatnya juga terkenal dengan kuat bekerja, rajin serta setia kepada majikan dan syarikat. Nama lain untuk Jepun adalah Nippon. Pengangkutan awam yang canggih seperti keretapi peluru (bullet train).
Ia juga diberi nama jolokan sebagai ‘Negara Matahari Terbit’ dan bila mentari muncul di sebalik Gunung Fuji, melahirkan rasa syahdu di dalam hati seorang penyajak untuk menulis haiku.
Jepun adalah negara pulau dan terdapat lebih kurang 3 ribu buah pulau dalam negara tersebut. Empat pulau yang utama iaitu Hokkaido (pulau paling utara), Honshu (pulau paling utama), Shikoku dan Kyushu.
Kyoto adalah bandar bersejarah yang menyimpan sejarah negara Jepun sejak 1200 tahun lalu. Beribu-ribu bangunan bersejarah seperti kuil Shinto dan Buddha memang mudah ditemui di sana.
Kyoto pernah menjadi ibu negara Jepun sejak tahun 794 sehingga 1868. Selepas itu, ia dipindahkan ke Tokyo dan menjadi ibu negara sehingga kini.
Antara tarikan di Kyoto ialah Istana Nijo. Ia siap dibina pada tahun 1626. Istana Nijo direka dengan begitu cantik dan dihiasi dengan daun emas.
Kuil Kiyomizu-dera adalah kuil yang sering dilawati di Kyoto. Ia terletak di atas bukit dan berusia 1200 tahun. Kuil Kiyomizu-dera tersenarai sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO.
Di Osaka (juga terkenal dengan skuad bola sepak yang hebat: Gamba Osaka), terdapat Osaka Aquarium Kaiyukan, iaitu salah satu akuarium terbesar di dunia. Ia menampung kira-kira 30 ribu spesis hidupan termasuk 110 spesis tumbuh-tumbuhan. Ikan jerung paus menjadi tarikan utama selain ketam gergasi pasifik, burung penguin, anjing laut dan pelbagainya.
Tokyo merupakan ibu negara Jepun. Bandar ini sangat padat kerana menjadi tumpuan satu perempat daripada rakyat Jepun. Penduduk Tokyo dianggarkan seramai 12 juta orang!
Istana diraja Jepun, Imperial Palace terletak di Tokyo. Di situlah bersemayamnya Maharaja Akihito dan Maharani Michiko. Maharaja Akihito merupakan Maharaja Jepun yang ke 125.
Keluasan: 377 801 km persegi.
Populasi: 124 040 000 orang
Ibu negara: Tokyo
Bandar utama lain: Sapporo, Yokohama, Niigata, Osaka, Nagoya, Hiroshima dan Fukuoka