Sabtu, 7 Julai 2018

Anime Batman Ninja Dapat Adaptasi Manga

Laman rasmi majalah Monthly Hero milik Shogakukan telah mendedahkan muka depan edisi bulan Julai majalah tersebut yang akan diterbitkan. Muka depan majalah tersebut mendedahkan Masato Hisa (Nobunagun, Area 51) bakal menghasilkan sebuah manga yang diadaptasi dari anime Batman Ninja dalam edisi tersebut.

Batman Ninja adalah filem anime yang mengisahkan Batman dan rakan-rakan serta para musuhnya yang berada di zaman feudal disebabkan oleh mesin masa ciptaan Gorilla Grodd.

Di dunia di mana para musuhnya menjelma menjadi para pemimpin di Jepun zaman tersebut dengan Joker sebagai ketuanya, Batman yang kehilangan semua alat teknologi kena bergantung pada kepandaian diri dan rakan-rakannya termasuklah Cat Woman untuk memulihkan keadaan Jepun dan kembali ke Gotham masa kini semula.

Filem anime tersebut dikeluarkan oleh Warner Bros dalam bentuk digital pada 24 April lalu, dan dalam bentu Blue-Ray dan DVD pada 8 Mei lalu dan di Jepun pada 15 Jun. Majalah Monthly Hero edisi Julai yang telah memuatkan adaptasi manga Batman Ninja tersebut telah diterbitkan di Jepun bermula 1 Jun.