Isnin, 5 Ogos 2013

Unagi Mungkin Disenaraikan Sebagai Spesies Terancam

Badan pemeliharaan antarabangsa kini mempertimbangkan status belut Jepun sama ada ia perlu disenaraikan sebagai species terancam atau tidak. Walau pun keputusan belum tercapai, perkara ini telah pun menaikkan harga hidangan istimewa pada musim panas di Jepun.

Persekutuan Pemeliharaan Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) memasukkan belut Jepun (Anguilla Japonica) ke dalam senarai penyelidikan mereka yang mempunyai 19 jenis spesies belut.

Sesi kerja berkenaan telah tamat di United Kingdom pada awal bulan lalu dan keputusan dijangka akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang. Sekiranya status belut Jepun diluluskan, ia akan berada didalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN.

Pada Februari lalu, Kementerian Persekitaran Jepun mengisytiharkan belut Jepun sebagai spesies terancam kerana jumlah tangkapan domestik tahunan telah menurun 90% dalam masa 50 tahun dengan hanya 229 tan dalam tahun 2011.

Belut bakar atau pun lebih terkenal dengan nama unagi adalah hidangan istimewa musim panas di Jepun.