Tokyo - Bangkai seekor gajah purba atau mamot berusia 39 ribu tahun, yang ditemui pada bulan Mei lalu dalam keadaan beku di Siberia, Rusia dipamerkan di Tokyo bermula kelmarin.
Gajah daripada spesies mamot Woolly itu akan dipamerkan kepada masyarakat umum di sebuah dewan pameran di Yokohama di sini sehingga bulan September.
Bangkai gajah purba yang ditemui masih lengkap dengan rupa bentuk asal itu didakwa para saintis telah terperangkap di kawasan paya dan mati beberapa ribu tahun lalu.
Para saintis yang terlibat dalam penemuan gajah purba itu telah mengumpul beberapa sampel darah di tempat ia ditemui untuk dianalisis.
Para saintis juga dipercayai akan menggunakan sampel darah gajah purba tersebut bagi mengklon hidupan purba berkenaan, sekali gus cuba menghidupkan kembali haiwan yang pernah menghuni dunia 4 ribu tahun lalu.
Seorang saintis dari Universiti Persekutuan North Eastern di Siberia, Semyon Grigoriev berkata, mereka terkejut dengan penemuan sampel darah dan tisu anggota badan mamot tersebut.
Katanya lagi, gajah purba itu dianggap sebagai 'mamot terbaik' yang masih terpelihara dalam sejarah paleontologi.
Bagaimana pun, sebahagian saintis bertegas adalah mustahil untuk mengklon mamot sama yang pernah menguasai bumi dahulu. - Agensi