Isnin, 9 April 2012

Toshiba Asalnya nama Timangan

Toshiba Corporation adalah sebuah konglomerat multinasional dari Jepun yang berpangkalan di Tokyo. Perniagaan utama yang dikendalikan adalah infrastruktur, produk pengguna, peralatan dan peranti peralatan elektronik.

Pada 2009, Toshiba muncul sebagai pengeluar produk komputer peribadi kelima terbesar dunia iaitu selepas Hewlett-Packet (HP) dan DELL dari Amerika Syarikat, Acer dari Taiwan dan Lenovo dari China.

Toshiba menyediakan pelbagai aktiviti pengilangan dan pemasaran menerusi produk elektronik, perkakasan dan sistem komunikasi; perkhidmatan sistem penyelesaian internet; perkakasan elektronik; sistem kuasa dan sistem infrastruktur perkakasan rumah.

Sejarah penubuhan Toshiba bermula pada 1939 menerusi penggabungan dua syarikat pertama Jepun yang membekalkan peralatan telegraf dan telah diasaskan oleh Hisashige Tanaka (gambar atas) pada 1875.

Dalam 1904, namanya telah ditukar kepada Shibaura Seisakusho. Menjelang suku pertama abad ke 20, Shibaura Seisakusho muncul sebagai pengeluar utama mesin elektronik berat di Jepun.

Sementara itu, Hakunetsusha yang ditubuhkan pada 1890 adalah syarikat Jepun pertama yang mengeluarkan lampu pijar elektrik. Sekitar 1899, syarikat melakukan penjenamaan semula dengan menggunakan nama Tokyo Denki yang bermaksud Elektrik Tokyo.

Penggabungan kedua-dua syarikat ini telah mencipta nama baru iaitu Tokyo Shibaura Denki. Tidak lama selepas itu, syarikat giat mengeluarkan pelbagai produk menggunakan nama timangan syarikat iaitu Toshiba. Namun, menjelang 1978, syarikat telah menggunakan nama timangan tersebut secara rasmi dan telah didaftarkan semula sebagai Toshiba Corporation.