Lebih daripada sedekad, gadis Jepun suka tampil cantik dengan melakukan teknik penyambungan bulu mata, rambut dan kuku tangan. Mereka sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk kesempurnaan diri. "Biasanya teknik sambung bulu mata mencecah US$100 (RM306). Tetapi mereka tidak kisah kerana hasilnya memukau," jelas pemilik salon Yuuki Takahashim, Kurata yang beroperasi di Harajuku.
Stail rambut pelbagai
Trend mencuba pelbagai stail rambut juga dikatakan popular dalam kalangan gadis Jepun. Bukan saja dari segi potongan dan rawatan, malah mereka turut gemar mewarna rambut dengan palet warna terang.
Rias kuku
Pada hujung minggu mereka akan meluangkan masa mengunjungi salon rawatan kuku untuk melakukan manicure seperti mengilat, memotong dan mengecat kuku dengan bermacam-macam corak serta warna.
Harajuku
Gadis Jepun juga terkenal dengan imej Harajuku. Mereka akan berkumpul di beberapa daerah tertentu dengan menyarungkan pakaian pelik dan unik. Tanpa segan silu mereka menggayakan busana yang 'tidak kena gaya' atau meniru kostum anime kesukaan.