Ahad, 19 Februari 2012

Lebuh Raya Dalam Bangunan


Di daerah Fukushima-kun, Osaka, Jepun terdapat satu kompleks bangunan yang menjadi mercu tanda kecanggihan teknologi kejuruteraan rakyat di negara itu.

Diberi jolokan nama sebagai gate Tower Building, bangunan ini bukan sahaja menempatkan ruang untuk kegunaan pejabat, tetapi turut berfungsi sebagai jalan penghubung kepada satu laluan lebuh raya utama yang digunakan oleh ribuan kenderaan setiap hari.

Berkeluasan 85, 640 meter persegi, ia merupakan sebuah kompleks bangunan yang tercanggih pada masa kini. Selain itu, binaan ini turut mendapat pengiktirafan sebagai satu-satunya bangunan di dunia yang memiliki lebuh raya. Reka bentuk asal bangunan tersebut telah dihasilkan oleh tiga orang arkitek tempatan yang bernama Azusa Sekkei, Yamamoto Nishikara dan Kenchiku Sekkei Jimusho.

Pembinaan projek Gate Tower Building dianggarkan memakan masa selama 10 tahun, yang mana ia dimulakan pada tahun 1983 dan dibuka sepenuhnya pada tahun 1992. Ia dibina oleh sebuah syarikat kontraktor yang terkemuka di Jepun dikenali sebagai Sato Kogyo Co. Ltd.

Struktur utama yang digunakan untuk membina projek mega ini adalah dua bahan utama iaitu keluli dan konkrit. Bagaimana pun, jumlah sebenar kedua-dua bahan tersebut dan kos keseluruhan pembinaan projek itu masih menjadi teka-teki sehingga hari ini kerana syarikat yang dipertanggungjawabkan membina kompleks bangunan terbabit tidak mengumumkannya.

Sebelum kompleks bangunan setinggi 16 tingkat ini dibuka, keadaan lalu lintas di jalan-jalan utama di bandar Osaka sering mengalami kesesakan yang sangat luar biasa. Sungguh pun dikawal oleh petugas trafik, namun keadaan jalan-jalan utama di bandar tersebut tetap dipenuhi dengan pelbagai kenderaan yang terkandas akibat kesesakan lalu lintas.

Pada setiap tahun masalah kesesakan jalan raya bandar itu menjadi semakin teruk. Ekoran keadaan itu akhirnya pihak berkuasa kerajaan negara Jepun mencuba pelbagai alternatif bagi mengurangkannya kesesakan lalu lintas di bandar tersebut.

Bagaimana pun, selepas pembinaan projek mega tersebut, kesesakan yang berlaku di jalan-jalan utama sekitar bandar metropolitan itu dilihat mula berkurangan. Walau pun ianya tidak menunjukkan pengurangan sepenuhnya, namun keadaan trafik mula menunjukkan keadaan terkawal jika dibandingkan pada tahun sebelumnya.

Dalam projek infrastruktur tersebut, kompleks bangunan setinggi 16 tingkat itu turut menghubungkan sebuah lebuh raya utama yang dikenali Hansin Expressway. Mempunyai ukuran sepanjang 293.3 kilometer, lebuh raya ini boleh dilalui oleh pelbagai kenderaan sama ada ringan atau berat.

Osaka merupakan sebuah ibu negeri dan bandar ketiga terbesar di negara Jepun. Selain itu, ia merupakan sebuah kawasan yang padat dan terkenal dengan kegiatan perindustrian dan pelabuhan utama di negara matahari terbit. Dianggarkan populasi penduduknya berjumlah 2.7 juta orang.