Isnin, 27 Februari 2012

Pasukan Bantuan Khas Terima Lencana Ultraman

Fukushima, salah satu kawasan yang paling menerima kesan akibat bencana 11 Mac tahun lalu telah memberi penghormatan kepada pegawai-pegawai polis yang datang dari seluruh Jepun untuk menguatkuasakan undang-undang dengan menganugerahkan mereka lencana unit khas Ultraman.

Selepas bencana tersebut berlaku, seramai 350 pegawai dari 22 wilayah telah membentuk unit pasukan khas dan dihantar ke Fukushima untuk bekerjasama dengan polis tempatan. 

Setiap pegawai mendapat gelaran Ultra Police force kerana mereka menjalankan tugas seperti wira-wira gergasi dalam siri Ultraman.

Mendiang Tsuburaya Eiji iaitu pencipta Ultraman juga dilahirkan di Fukushima. Tsuburaya Productions miliknya telah mwncipta simbol menggunakan motif Ultraman dan Science Patrol untuk Ultra Police Force.

Setiap anggota pasukan ini akan menerima pengikat lengan dan lencana di dalam sebuah acara khas.

Pintu Dokodemo Doraemon Muncul Di Yamanashi


Replika Pintu Dokodemo (Pintu Ke Mana-Mana) dari siri manga/anime Doraemon telah dibina di bandar Takane, Wilayah Yamanashi. Pintu merah jambu ini muncul di lot parkir pusat tumpuan pelancongan Moeginomura yang berukuran 180cm tinggi dan 80cm lebar. 

Dua kakitangan Moeginomura telah menempah pintu tersebut dari sebuah syarikat pengubahsuaian rumah tempatan.

Idea ini timbul dari seorang kakitangan pusat pelancongan ini dan percaya ia mampu tarik pelancong dengan meletakkan salah satu dari alat terkenal dari saku Doraemon di kawasan bersalji tersebut.

Memandangkan pintu ini tidak ke mana-mana, maka ianya telah dinamakan Pintu Kokodemo (Hanya Berada Di sini).

Ahad, 26 Februari 2012

Kobayashi Cetus Semangat Sauber

London - Pemandu pasukan Sauber, Kamui Kobayashi mencipta kejutan apabila mencatat masa terpantas pada hari terakhir ujian pra musim Formula Satu (F1) di Litar Cataluya, Barcelona semalam.

Pemandu kelahiran Jepun itu merakamkan catatan satu minit 22.312 saat sepusingan pada sesi sebelah pagi sebelum menumpukan latihan pemanduan jarak jauh pada sesi kedua di sebelah petang. Secara keseluruhannya, Kobayashi melakukan 145 pusingan.

"Catatan terpantas ini merupakan keputusan positif keseluruhan tetapi ia tidak memberi sebarang makna kerana akan ada perbezaan antara rekod pada sesi ujian dan perlumbaan sebenar. Setiap pasukan mempunyai program latihan tersendiri dan semestinya akan ada peningkatan bagi setiap pasukan," kata ketua jurutera Sauber, Giampaolo Dall' Ara.

Khamis, 23 Februari 2012

Harimau Muda Kena Pancung!


Hajat skuad negara melakar kejutan ke atas Jepun pada aksi Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi tidak kesampaian. Sebaliknya, skuad Samurai Biru itu berpesta gol apabila mencipta kemenangan 4-0.

Dua gol pada setiap babak sudah cukup buat Jepun memalukan skuad Harimau Muda yang gagal membalas dendam kekalahan 0-2 pada aksi di Stadium Tosu, Fukuoka, September lalu.

Hiroki Sakai (gambar), Yuya Osako, Genki Haraguchi dan Manabu Saito masing-masing meledak satu gol buat Jepun yang kini kembali menerajui Kumpulan C dengan 12 mata.

Dengan kekalahan itu, skuad kendalian Ong Kim Swee masih gagal meraih sebarang mata apabila tewas dalam kesemua empat perlawanan terdahulu.

Ahad, 19 Februari 2012

Lebuh Raya Dalam Bangunan


Di daerah Fukushima-kun, Osaka, Jepun terdapat satu kompleks bangunan yang menjadi mercu tanda kecanggihan teknologi kejuruteraan rakyat di negara itu.

Diberi jolokan nama sebagai gate Tower Building, bangunan ini bukan sahaja menempatkan ruang untuk kegunaan pejabat, tetapi turut berfungsi sebagai jalan penghubung kepada satu laluan lebuh raya utama yang digunakan oleh ribuan kenderaan setiap hari.

Berkeluasan 85, 640 meter persegi, ia merupakan sebuah kompleks bangunan yang tercanggih pada masa kini. Selain itu, binaan ini turut mendapat pengiktirafan sebagai satu-satunya bangunan di dunia yang memiliki lebuh raya. Reka bentuk asal bangunan tersebut telah dihasilkan oleh tiga orang arkitek tempatan yang bernama Azusa Sekkei, Yamamoto Nishikara dan Kenchiku Sekkei Jimusho.

Pembinaan projek Gate Tower Building dianggarkan memakan masa selama 10 tahun, yang mana ia dimulakan pada tahun 1983 dan dibuka sepenuhnya pada tahun 1992. Ia dibina oleh sebuah syarikat kontraktor yang terkemuka di Jepun dikenali sebagai Sato Kogyo Co. Ltd.

Struktur utama yang digunakan untuk membina projek mega ini adalah dua bahan utama iaitu keluli dan konkrit. Bagaimana pun, jumlah sebenar kedua-dua bahan tersebut dan kos keseluruhan pembinaan projek itu masih menjadi teka-teki sehingga hari ini kerana syarikat yang dipertanggungjawabkan membina kompleks bangunan terbabit tidak mengumumkannya.

Sebelum kompleks bangunan setinggi 16 tingkat ini dibuka, keadaan lalu lintas di jalan-jalan utama di bandar Osaka sering mengalami kesesakan yang sangat luar biasa. Sungguh pun dikawal oleh petugas trafik, namun keadaan jalan-jalan utama di bandar tersebut tetap dipenuhi dengan pelbagai kenderaan yang terkandas akibat kesesakan lalu lintas.

Pada setiap tahun masalah kesesakan jalan raya bandar itu menjadi semakin teruk. Ekoran keadaan itu akhirnya pihak berkuasa kerajaan negara Jepun mencuba pelbagai alternatif bagi mengurangkannya kesesakan lalu lintas di bandar tersebut.

Bagaimana pun, selepas pembinaan projek mega tersebut, kesesakan yang berlaku di jalan-jalan utama sekitar bandar metropolitan itu dilihat mula berkurangan. Walau pun ianya tidak menunjukkan pengurangan sepenuhnya, namun keadaan trafik mula menunjukkan keadaan terkawal jika dibandingkan pada tahun sebelumnya.

Dalam projek infrastruktur tersebut, kompleks bangunan setinggi 16 tingkat itu turut menghubungkan sebuah lebuh raya utama yang dikenali Hansin Expressway. Mempunyai ukuran sepanjang 293.3 kilometer, lebuh raya ini boleh dilalui oleh pelbagai kenderaan sama ada ringan atau berat.

Osaka merupakan sebuah ibu negeri dan bandar ketiga terbesar di negara Jepun. Selain itu, ia merupakan sebuah kawasan yang padat dan terkenal dengan kegiatan perindustrian dan pelabuhan utama di negara matahari terbit. Dianggarkan populasi penduduknya berjumlah 2.7 juta orang.



Sabtu, 18 Februari 2012

Tokyo Jihen Bubar Pada Hari Terakhir Bulan Ini


Tokyo Jihen telah mengumumkan dalam laman web rasmi mereka bahawa mereka akan berpecah secara rasmi pada 29 Februari ini.

Kumpulan rock ini ditubuhkan pada tahun 2004 oleh Shiina Ringo dan terdiri daripada Shiina sebagai vokalis, pemain bass Kameda Seiji, pemain dram Hata Toshiki, pemain gitar Ukigumo dan pemain keyboard Izawa Ichiyo.

Sebelum pembubaran ini, Tokyo Jihen akan mengadakan jelajah konsert terakhir pada bulan ini dengan pertunjukkan di Yokohama Arena, Osakajo Hall dan Nippon Budokan dengan kesemuanya enam persembahan.

Semua tiket dijual melalui cabutan bertuah dan penyertaan telah diterima dari 13 hingga 23 Januari. Tokyo Jihen telah menerbitkan album mini berjudul Colors Bars pada bulan lalu dan bulan ini mereka akan menerbitkan album live berjudul Tokyo Collection dan DVD/Blu-ray berjudul Discovery.

Juju Bakal Buat Persembahan di MTV Unplugged


Musim bunga ini, penyanyi jazz Juju akan membuat persembahan di MTV Unplugged di New York. Walau pun ramai artis Jepun telah membuat persembahan di MTV Unplugged versi Jepun, Juju adalah artis Jepun kedua yang muncul pada rancangan Amerika.

MTV Unplugged menampilkan artis-artis terkenal mempersembahkan lagu mereka dalam versi akustik dan telah ke udara sejak tahun 1989. Hirai Ken menjadi artis Jepun pertama yang muncul pada pertunjukkan tahun 2003. Tetapi sejak itu tidak kelihatan artis Jepun lagi.

Persembahan Juju dirancang untuk musim bunga ini dan tarikh masih belum diumumkan. Juju pernah tinggal di New York dan berpindah ke sana pada usia 18 tahun untuk belajar muzik. dia juga dikatakan berada di studio semasa Hirai Ken membuat persembahan MTV Unplugged pada sembilan tahun lalu.

Selasa, 7 Februari 2012

Matsuyama Kenichi dan Koyuki Menjadi Ibu Bapa



Pada 5 Januari, Koyuki telah melahirkan anak pertamanya. Dia dan suaminya, Matsuyama Kenichi mengumumkan berita gembira ini melalui agensi pengurusan masing-masing.

Koyuki dan bayi lelaki yang dilahirkannya sihat dan menurut agensinya, dia akan menumpukan perhatian untuk menjaga anaknya tetapi mungkin kembali berlakon pada hujung tahun ini.

Di samping itu, Matsuyama sedang sibuk sebagai bintang utama Drama Taiga NHK tahun ini. Taira no Kiyomori yang mula disiarkan pada 8 Januari. Matsuyama dan Koyuki berkahwin pada April 2011 selepas bertemu janji selama 3 tahun.


Rakyat Jepun Juara Makan Kepak Ayam


Philadelphia, (USA) – Lebih 17 ribu orang memenuhi sebuah stadium tertutup di sini kelmarin untuk menyaksikan pertandingan memakan kepak ayam terbanyak.

Acara dinamakan Wing Bowl tersebut diadakan di bandar raya ini pada setiap tahun. Pertandingan kali ini dimenangi oleh peserta dari Jepun, Takeru Kobayashi.

Memiliki berat badan cuma 57 kilogram, peserta berusia 37 tahun itu mudah menewaskan lawan yang jauh lebih besar untuk menjuarai pertandingan tersebut sekali gus membawa pulang wang tunai US$ 20 ribu (RM 60, 200).

Kobayashi yang pernah mencatat rekod dunia pertandingan makan hotdog, bebola daging, hamburger dan pasta, menghabiskan sebanyak 337 ketul kepak ayam dalam masa 30 minit yang ditetapkan. – Reuters


Tabiat Kitar Semula Plastik Di Jepun Lebih Baik Daripada Negara Lain


Jepun mempunyai kadar kitar semula plastik sebanyak 77% pada tahun 2010. Berbanding dengan negara maju lain, angka itu adalah dua kali ganda kadar di UK dan 20% lebih tinggi daripada USA.

Memandangkan Jepun melaksanakan pelupusan sisa plastik, senarai barangan plastik untuk kitar semula melibatkan kotak dan bekas, cawan, pembungkusan, pinggan, lapik dan penutup cawan.

Sejak tahun 1997, Jepun telah mewajibkan setiap perniagaan dan kediaman memisahkan sisa plastik. Sejak itu, banyak undang-undang berkenaan bahan buangan telah dibuat dan diluluskan.

Jepun berjaya mengitar semula plastik kerana syarikat pemproses bahan sisaan mendapat sokongan pengilang produk yang menggunakan plastik,” ujar jurucakap institut Kamiya Takushi.

Jepun mengitar 72% botol polyethylene terephthalate (PET) pada tahun 2010, dibandingkan dengan seluruh Eropah pada 48% dan USA pada hanya 29%. Produk dari kitar semula ini termasuklah tekstil, bahan industri, kertas dan barang dapur. Kuantiti besar produk-produk ini dipindahkan ke kebanyakkan negara Asia.

Penggunaan teknologi baru juga menyumbang perkembangan kadar kitar semula Jepun. Sebagai contoh, syarikat makanan terkenal Ajinomoto tidak lagi menggunakan botol plastik yang 100% diperbuat daripada PET, di mana sebanyak 4,500 tan PET kitar semula telah digunakan dalam produknya setiap tahun.


Kini Mesin Jualan Pula Berikan Wi-Fi


Pasti anda telah menjangkakan mesin jualan pada masa akan datang dilengkapi skrin sentuh? Masa depan yang lebih jauh pula memastikan anda boleh memeriksa em-mail atau membaharui status rangkaian sosial. Asahi telah mengumumkan bahawa ia kini sedang mengusahakan ‘mesin jualan hotspot’ dan akan melancarkannya pada tahun ini.

Mesin jualan baru ini memberikan sambungan Wi-Fi percuma dalam lingkungan 50 meter melalui perkhidmatan FreeMobile.

Walau pun terdapat had sambungan tempoh setengah jam, ia tetap boleh terus digunakan malah anda tidak perlu beli minuman pun. Untuk fasa pertama, Asahi akan menempatkan seribu unit mesin jualan ini di lima wilayah iaitu Tokyo, Sendai, Chubu, Kinki dan Fukuoka dalam tahun pertama.

Rancangan mereka adalah untuk mempunyai 10 ribu unit dalam masa lima tahun. Buat masa ini Asahi sedang menguruskan 250 ribu unit mesin jualan di seluruh Jepun.