Selasa, 3 November 2009

Rokok: Malaysia disaran contohi Jepun

Dipetik dari Suara Keadilan 27 Oktober – 3 November 2009

Oleh: Fazilah Sahir

Kerajaan Barisan Nasional (BN) berhempas pulas mengadakan pelbagai kempen mengurangkan tabiat merokok tetapi ia tidak memberi impak besar, sebaliknya merugikan ‘wang rakyat’.

Peruntukan kempen mencecah RM 17 juta untuk lima tahun, dengan RM 5.67 juta daripadanya dibelanja dalam pengiklanan termasuk pemasangan papan iklan di luar bandar, bandar (RM 3 juta), televisyen (RM 3 juta) dan akhbar (RM 2.5 juta).

Sebanyak RM 7 ratus ribu pula dibelanjakan untuk iklan di radio, majalah (RM 250 ribu), pawagam (RM 200 ribu) manakala bakinya digunakan bagi bahan penerbitan dan kos pengurusan.

Berdasarkan kerugian hangus itu, jelas kerajaan tidak bijak menangani hal berkenaan dan disaran meneliti pendekatan Jepun yang ‘mengharamkan’ rokok.

Pada 2004, pemerintah Negara Matahari Terbit itu menaikkan harga rokok tetapi tidak menaikkan kos lain seperti pengangkutan, teksi dan barangan lain.

Mereka juga memasang larangan merokok dihampir semua tempat awam pada 2007 termasuk jalan raya dan teksi sedangkan penumpang teksi di Kuala Lumpur ‘mengalah’ kepada pemandu teksi yang merokok.

Jepun juga ada mengeluarkan kad ‘Taspo’ yang sinonim dengan SIK (Surat Izin Merokok) pada 2008 bagi mengelak remaja bawah 20 tahun dari merokok manakala perokok dewasa wajib berdaftar, lengkap dengan gambar.

Mesin penjual rokok pula tidak menjual kepada mereka yang tiada kad itu, selain ia tidak boleh dibeli pada jam tertentu pada waktu malam.

Menariknya, kad ‘Taspo’ dapat mengesan prestasi penggunaan rokok sepanjang sebulan, malah terdapat grafik yang menunjukkan prestasi merokok mengikut tahap kesihatan dunia.

Di Jepun, tempat merokok disediakan hampir di semua pusat bandar dan mereka juga menguatkuasa larangan merokok di tempat awam atau berdepan denda 5 ribu yen atau RM 200.

Pada 2009 pula, pemerintah negara itu tegas menaikkan harga rokok berlipat kali ganda dari 300 ke 900 yen lantaran kerajaan Jepun mengambil berat kesihatan rakyat.

Bukan seperti kerajaan Malaysia yang hanya sibuk berkempen sedangkan impaknya masih di tahap sama – tiada perubahan. Maka, wajarlah kerajaan mengambil ikhtiar dari pendekatan yang diaplikasi kerajaan Jepun.

Tiada ulasan: