Ahad, 31 Mei 2015

Sarapan 100 Yen Universiti Mendapat Sambutan Baik

Pada pertengahan tahun 2014, universiti-universiti Jepun mula melancarkan kempen Sarapan 100 Yen demi memberikan diet dengan zat berkhasiat yang seimbang kepada para mahasiswa.
 
Kempen ini mendapat sambutan yang amat baik dari para mahasiswa sehingga sebilangan universiti turut turut melancarkan perkhidmatan 'sarapan percuma'.
 
Keputusan dari sebuah soal selidik di Universiti Ekonomi Tokyo telah menjadi punca kemunculan kempen ini apabila kebanyakan ahli-ahli kelab sukan di university tersebut didapati jarang makan sarapan sebelum menjalankan latihan.
 
Kempen sedemikian turut bermula pada April 2014 dengan kantin universiti menawarkan Sarapan 100 Yen pada setiap hari kecuali hari-hari kelepasan am. Kemudiannya, pihak universiti membuat keputusan menawarkan sarapan percuma mulai tahun 2015.
 
Sarapan 100 Yen sebenarnya bernilai 300 Yen dengan persatuan ibu bapa menanggung 2/3 daripada kosnya. Selain daripada nasi dan sup daging yang ditetapkan, pembeli boleh memilih 2 daripada 10 jenis lauk.
 
Pada Disember lalu, keputusan soal selidik menunjukkan 80% daripada 111 mahasiswa mulai mengamalkan tabiat bersarapan selepas kempen diadakan.
 
Sejak itu, beberapa buah universiti turut memulakan kempen Sarapan 100 Yen atau pun sarapan percuma termasuklah Universiti Ritsumeikan Kyoto, Universiti Komazawa Tokyo, Universiti Ekonomi Hiroshima, Universiti IT Shonan Kanazawa dan lain-lain lagi.