Isnin, 28 April 2014

Pedang Bilah Terbalik Sebenar!


Bermula bulan lepas, pedang bilah terbalik pertama yang sebenar akan mula dipamerkan di Muzium Sejarah Tempatan yang terletak di Shiroi, Chiba.
 
Diberi jolokan Sakabatou kerana mirip dengan pedang yang muncul di dalam siri Rurouni Kenshin (Nobuhiro Watsuki), pedang ini dikatakan hanya rekaan sehinggalah muncul di Shiroi pada tahun lalu.
 
Pedang ini ditemui pada Oktober lalu oleh keluarga Kawakami di dalam gudang miliknya dan dikatakan berasal dari Zaman Edo. Ianya sepanjang 28.2 cm dengan bilah sepanjang 22.6 cm.
 
Keluarga Kawakami telah diberi tugas menjaga kuda dan lembu oleh Shogun pada waktu itu dan memiliki pelbagai jenis artifak dari zaman tersebut. Disebabkan kesukaran untuk menemui pedang seperti ini, berdasarkan saiz dan kedudukan bilahnya, pedang ini tidak pernah dimasukkan ke dalam pendaftaran rasmi pedang Jepun!
 
Oleh sebab itu, mesyuarat ahli jawatankuasa khas telah diadakan pada penghujung bulan lalu untuk membincangkan sama ada pedang ini layak atau tidak diberikan status Harta Kebudayaan Wilayah Chiba.