Rabu, 9 Mei 2012

OSUNAARASHI - Ahli Sumo Muslim Yang Pertama

Memperkenalkan Abdelrahman Ahmed Shaalan, berusia 20 tahun. Dia adalah Muslim pertama yang bersaing dalam arena sumo profesional di Jepun. Gelarannya adalah Osunaarashi (Ribut Pasir Besar).

Abdelrahman berasal dari Giza, Mesir. Dia berhenti belajar di universiti untuk memasuki sukan sumo profesional. Namun, dalam dunia sumo yang dianggap sebagai seni kebangsaan Jepun, Abdelrahman perlu berhati-hati untuk menjauhi daging khinzir dan arak, yang menjadi diet utama para ahli sumo untuk menaikkan berat badan.

Di dalam rutin latihan yang ketat dan berada di kalangan peserta sumo lain, dia tetap bersembahyang lima kali sehari. Selain itu, dia turut menghadapi kesukaran dalam bulan Ramadan, di mana dia perlu berpuasa walau pun selepas latihan petang yang hebat.

"Saya yakin untuk mengatasi cabaran saya," kata Abdelrahman kepada media Jepun selepas memenangi dua perlawanan bertaraf profesional dalam sebuah kejohanan di Osaka.

"Saya ingin menjadi ahli sumo yang mewakili Arab dan Afrika. Impian saya adalah untuk menjadi Yokozuna," jelas ahli sumo yang berketinggian 189 cm dan seberat 145 kg ini.