Ahad, 11 Julai 2010

Anak Patung Okiku



Anak patung misteri yang dirasuk oleh roh seorang budak perempuan telah menimbulkan tanda tanya di seluruh Jepun sejak berdekad lamanya. Anak patung Okiku yang diberikan nama sempena si pemiliknya yang bermain dengannya pada suatu masa dulu adalah anak patung setinggi 40cm yang memakai kimono dan mempunyai mata hitam dan rambut yang terus memanjang!

Anak patung Okiku telah disimpan di tokong Mannenji di bandar Iwamizawa, Wilayah Hokkaido sejak tahun 1938. Menurut pihak tokong tersebut, patung ini pada asalnya mempunyai rambut yang pendek, tetapi ia menjadi panjang sehingga 25cm ke paras lututnya. Walau pun rambutnya sering kali dipotong, ada laporan menyatakan ia akan tumbuh semula.

Dikatakan anak patung ini pada asalnya dibeli pada tahun 1918 oleh seorang budak lelaki berusia 17 tahun bernama Suzuki Eikichi sewaktu melawat pameran marin Sapporo. Dia membeli anak patung ini di Tanukikoji, jalan membeli-belah yang paling terkenal di bandar tersebut sebagai buah tangan untuk adiknya yang berusia 2 tahun bernama Okiku.

Budak perempuan itu sangat sukakan patung ini dan bermain dengannya pada setiap hari, tetapi selepas setahun dia mati akibat demam. Keluarga ini meletakkan anak patung di tempat penyembahan dan bersembahyang kepadanya pada setiap hari untuk mengingati Okiku. Beberapa tahun kemudian, mereka mendapati rambutnya mula tumbuh. Ini dilihat sebagai tanda roh gadis tersebut telah duduk di dalam anak patung itu.

Pada tahun 1938, keluarga Suzuki berpindah ke Pulau Sakhalin, Rusia dan mereka menempatkan anak patung ini di bawah jagaan tokong Manneji sehingga kini. Tidak ada siapa boleh menjelaskan mengapa rambut anak patung ini tumbuh. Namun, satu kajian saintifik menunjukkan patung ini mempunyai rambut seorang kanak-kanak perempuan.