Rabu, 14 Mei 2014

Memoir Penumpang Jepun Titanic Yang Terselamat Dipamerkan

Memoir peribadi Masabumi Hosono, satu-satunya penumpang Titanic berbangsa Jepun yang terselamat dipamerkan di Muzium Yokohama Minato dalam sebuah pameran khas bermula dari 19 April lalu.
 
Hosono adalah datuk kepada Haruomi Hosono, ahli kumpulan muzik techno berpengaruh besar Yellow Magic Orchestra (YMO). Pameran ini merupakan salah satu acara untuk meraikan ulang tahun ke-25 pembukaan muzium tersebut.
 
Dokumen dan bahan yang terselamat daripada tragedi Titanic amat jarang, tambahan pula kertas yang digunakan oleh Hosono untuk menulis memoir terdapat nama dan cop kapal tersebut.
 
Pada tahun 1912, Hosono yang berusia 42 tahun bertugas di bawah Kementerian Pengangkutan Jepun, menjalankan penyelidikan ke atas perkembangan sistem landasan keretapi di Eropah. Selepas tugasnya selesai, Hosono bercadang pulang ke Jepun melalui Amerika Syarikat.
 
Walaupun dirinya terselamat dalam salah satu tragedi terkenal dalam sejarah manusia, Hosono tiba di kampung halaman dengan kritikan hebat sedang menantinya.
 
Pihak orang awam, media malah kerajaan menghinakan keputusannya menyelamatkan diri dan berpendapat bahawa dia sepatutnya tenggelam bersama Titanic. Pada tahun 1939, Hosono meninggal dunia. Pameran memoir Hosono berlangsung sehingga 18 Mei ini.