Agensi pengurusan Johnny's Jimusho telah mengumumkan bahawa ahli Arashi, Aiba Masaki telah dimasukkan ke hospital disebabkan Pneumothorax (penyakit paru-paru).
Pada malam 28 Jun, Aiba mengadu sakit dada selepas selesai rakaman untuk rancangan televisyen Arashi ni Shiyagare. Dia telah dibawa ke hospital untuk diperiksa, dan doktor mengesahkan pneumothorax . Lalu Aiba ditempatkan ke dalam wad.
Aiba diperiksa sekali lagi pada keesokan pagi dan disahkan mengalami masalah dengan paru-paru kirinya. Dia dinasihatkan untuk terus berada di hospital selama seminggu. Disebabkan Aiba dimasukkan ke hospital, dia telah membatalkan semua temu bualnya. Dia juga tidak hadir untuk raptai Arashi pada 30 Jun dan 1 Julai untuk jelajah yang akan bermula pada 24 Julai ini.
Ini adalah kali kedua Aiba mengalami pneumothorax. Pada Mac 2002, dia mengalami masalah yang sama dengan paru-paru kanan kerana berlatih bermain saksofon terlalu kerap untuk sebuah projek rancangan televisyen. Dia menjalani pembedahan untuk rawatannya pada ketika itu, namun tidak perlu kali ini.