Selasa, 23 November 2010

Sanrio Diarah Henti Hasilkan Item Kathy


Selepas mengesahkan bahawa karakter Kathy oleh Sanrio ialah hasil ciplak dari karakter Miffy (Nijntje) di Belanda, mahkamah di Amsterdam telah mengarahkan Sanrio berhenti menhasilkan dan menjual item Kathy di tiga negara Eropah.

Menurut mahkamah, karakter arnab Kathy "terlalu sama" dengan arnab Miffy yang dihasilkan Dick Bruna. Arahan ini termasuk di Belanda, Belgium dan Luxembourg. 

Jika Sanrio tidak mematuhi arahan ini, mahkamah akan mengarahkan Sanrio membayar sebanyak 25 ribu Euro sehari kepada Mercis, syarikat yang menguruskan hak cipta Bruna. Bruna yang berusia 83 tahun mula menulis siri buku bergambar menampilkan Miffy (dikenali sebagai Nijntje di Belanda) pada 1955.

Buku versi terjemahan sangat popular di Jepun dan menjadi inspirasi beberapa siri animasi televisyen. Kathy merupakan rakan kepada karakter paling popular Sanrio, Hello Kitty.

Kathy (kiri) muncul dalam siri anime Hello Kitty and Friend. Selepas keputusan dikeluarkan, pihak publisiti Sanrio mengatakan bahawa mereka tidak pernah menganggap yang Kathy serupa dengan Miffy.