Rabu, 9 September 2009

Selepas 50 tahun, Pembangkang Jepun menang


Dipetik dari: Suara Keadilan 1-8 September 2009

Rakyat Jepun memilih pembangkang dari Parti Demokratik Jepun (DPJ) pada pilihanraya umum 30 Ogos lalu, mengenepikan Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Perdana Menteri, Taro Aso.

Kebanyakan pengundi termasuk penyokong LDP sendiri menyalahkan parti pemerintah terhadap krisis ekonomi terburuk yang dialami negara berkenaan sejak Perang Dunia Kedua.

Tinjauan keputusan undi oleh semua stesen televisyen utama di negara itu mendapati DPJ mencipta kemenangan bersejarah dan mampu mencapai kemenangan besar dengan menguasai dua pertiga dari keseluruhan 480 kerusi parlimen.

Kemenangan DPJ yang diketuai Yukio Hatoyama memecahkan kebuntuan di parlimen, sekaligus menamatkan penguasaan LDP yang memerintah Jepun lebih setengah abad.

DPJ sudah pun menguasai Dewan Tinggi dan kemenangannya dalam menguasai Dewan Rendah akan memudahkan kelulusan sesuatu rang undang-undang. Seorang pegawai kanan LDP yang memerintah Jepun turut mengaku parti itu menuju kekalahan.

“Ramalan media mengenai kekalahan LDP adalah mengejutkan, kami meraguinya tetapi kini ia menjadi kenyataan,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Strategi LDP, Yoshihide Suga.

Timbalan Setiausaha Agung DPJ, Yoshihiko Noda berkata, pihaknya gembira dengan kemenangan parti itu tetapi pada masa yang sama perlu memikul tanggungjawab yang besar.

Menurut Perdana Menteri Jepun, Taro Aso, beliau bertanggungjawab atas kekalahan LDP dan akan mengadakan pilihan raya kepimpinan parti dengan segera.

Tiada ulasan: