Selasa, 7 Februari 2012

Rakyat Jepun Juara Makan Kepak Ayam


Philadelphia, (USA) – Lebih 17 ribu orang memenuhi sebuah stadium tertutup di sini kelmarin untuk menyaksikan pertandingan memakan kepak ayam terbanyak.

Acara dinamakan Wing Bowl tersebut diadakan di bandar raya ini pada setiap tahun. Pertandingan kali ini dimenangi oleh peserta dari Jepun, Takeru Kobayashi.

Memiliki berat badan cuma 57 kilogram, peserta berusia 37 tahun itu mudah menewaskan lawan yang jauh lebih besar untuk menjuarai pertandingan tersebut sekali gus membawa pulang wang tunai US$ 20 ribu (RM 60, 200).

Kobayashi yang pernah mencatat rekod dunia pertandingan makan hotdog, bebola daging, hamburger dan pasta, menghabiskan sebanyak 337 ketul kepak ayam dalam masa 30 minit yang ditetapkan. – Reuters


Tabiat Kitar Semula Plastik Di Jepun Lebih Baik Daripada Negara Lain


Jepun mempunyai kadar kitar semula plastik sebanyak 77% pada tahun 2010. Berbanding dengan negara maju lain, angka itu adalah dua kali ganda kadar di UK dan 20% lebih tinggi daripada USA.

Memandangkan Jepun melaksanakan pelupusan sisa plastik, senarai barangan plastik untuk kitar semula melibatkan kotak dan bekas, cawan, pembungkusan, pinggan, lapik dan penutup cawan.

Sejak tahun 1997, Jepun telah mewajibkan setiap perniagaan dan kediaman memisahkan sisa plastik. Sejak itu, banyak undang-undang berkenaan bahan buangan telah dibuat dan diluluskan.

Jepun berjaya mengitar semula plastik kerana syarikat pemproses bahan sisaan mendapat sokongan pengilang produk yang menggunakan plastik,” ujar jurucakap institut Kamiya Takushi.

Jepun mengitar 72% botol polyethylene terephthalate (PET) pada tahun 2010, dibandingkan dengan seluruh Eropah pada 48% dan USA pada hanya 29%. Produk dari kitar semula ini termasuklah tekstil, bahan industri, kertas dan barang dapur. Kuantiti besar produk-produk ini dipindahkan ke kebanyakkan negara Asia.

Penggunaan teknologi baru juga menyumbang perkembangan kadar kitar semula Jepun. Sebagai contoh, syarikat makanan terkenal Ajinomoto tidak lagi menggunakan botol plastik yang 100% diperbuat daripada PET, di mana sebanyak 4,500 tan PET kitar semula telah digunakan dalam produknya setiap tahun.


Kini Mesin Jualan Pula Berikan Wi-Fi


Pasti anda telah menjangkakan mesin jualan pada masa akan datang dilengkapi skrin sentuh? Masa depan yang lebih jauh pula memastikan anda boleh memeriksa em-mail atau membaharui status rangkaian sosial. Asahi telah mengumumkan bahawa ia kini sedang mengusahakan ‘mesin jualan hotspot’ dan akan melancarkannya pada tahun ini.

Mesin jualan baru ini memberikan sambungan Wi-Fi percuma dalam lingkungan 50 meter melalui perkhidmatan FreeMobile.

Walau pun terdapat had sambungan tempoh setengah jam, ia tetap boleh terus digunakan malah anda tidak perlu beli minuman pun. Untuk fasa pertama, Asahi akan menempatkan seribu unit mesin jualan ini di lima wilayah iaitu Tokyo, Sendai, Chubu, Kinki dan Fukuoka dalam tahun pertama.

Rancangan mereka adalah untuk mempunyai 10 ribu unit dalam masa lima tahun. Buat masa ini Asahi sedang menguruskan 250 ribu unit mesin jualan di seluruh Jepun.


Khamis, 26 Januari 2012

Kawashima Ai Reput Tulang Akibat Berlari Terlalu Banyak


Telah didedahkan bahawa Kawashima Ai telah mengalami reput tulang akibat terlalu banyak berlari. Kawashima mula berlari supaya dia boleh membina stamina yang cukup untuk konsert yang bakal diadakan.

Baru-baru ini, dia ingin berlari sebanyak 10 hingga 20 kilometer sehari. Malangnya, dia terlalu mendesak dirinya dan tulangnya reput. Walau pun boleh berjalan, dia tidak dibenarkan untuk memberi tekanan kepada kakinya.

Namun, Kawashima merancang untuk mengekalkan jadualnya bermula dengan tour mini Februari nanti, Church Live 2012 Haru~Tabidachi~.


Isnin, 23 Januari 2012

Cocoa Otoko Bubar Pada Mac 2012?


Cocoa Otoko akhirnya mengumumkan di lama web rasmi mereka tentang pembubaran pada hujung Mac 2012.

Dalam pesanan berkenaan, mereka menyatakan Cocoa Otoko telah menjadi “rumah”, tetapi bertekad untuk berpisah supaya setiap ahli mampu menjadi matang.

Cocoa Otoko lahir daripada rancangan varieti Ikemendel no Housoku yang disiarkan dari April 2009 hingga Mac 2010.

Kumpulan ini terdiri daripada Kamakari Kenta (vokal), Suzuki Shogo (gitar), Hosogai Kei (bass), Yonehara Kosuke (dram) dan Ide Takuya (keyboard).

Mereka menerbitkan single sulung Amai Wana Nigai Uso (Perangkap Manis, Penipuan Pahit) pada April 2010 dan mendapat tempat ke 10 di dalam carta jualan mingguan.


Shingo Mama Kembali ke Kaca TV


Pada 15 Disember, telah diumumkan bahawa watak wanita Katori Shingo, Shingo Mama akan kembali ke kaca tv selepas tiga tahun.

Shingo Mama kembali melalui rancangan Oja Map terbitan Fuji TV yang bermula penyiarannya pada bulan ini.

Program ini adalah program di mana Katori bersama-sama Yamazaki Hironari akan menjadi hos. 

Walau pun Shingo Mama membuat kemunculan terakhir pada Mei 2009 di rancangan SMAP X SMAP Specia, terdapat banyak permintaan untuk Katori mengembalikan watak kelakar ini.

Permintaan ini semakin meningkat selepas Shingo Mama muncul dalam acara ulang tahun ke 20 SMAP di Tokyo Dome.

Rabu, 7 Disember 2011

Kawamoto Makoto Masuk Hospital Akibat Kemalangan Kereta

Penyanyi/penulis Kawamoto Makoto telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami kemalangan pada malam 16 November. Kini, Kawamoto dalam keadaan pemulihan dan agak sukar baginya untuk membuat persembahan disebabkan patah tulang dan lebam.

Disebabkan itu, konsertnya pada 20 November di Yonago Live House ONE MAKE di Tottori telah dibatalkan.

Kawamoto juga dijadualkan untuk melakukan persembahan pada parti pelancaran CD Juusho Futei Mishoku, Magic in A Pop 'n' Paul Show ~Phase 2~ pada 18 Disember di Shimokitazawa Three di Tokyo. Wakilnya akan memberitahu keputusan untuknya muncul pada majlis ini atau tidak.

Isnin, 5 Disember 2011

Jean Reno Menjadi Doraemon Dalam Iklan Toyota




Sukar untuk menyaksikannya di luar Jepun! Pelakon/pengarah Perancis, Jean Reno telah dipilih untuk melakonkan watak Doraemon dalam iklan terbaru Toyota!

Pada pertengahan bulan lalu, Toyota menerbitkan ‘adaptasi aksi sebenar Doraemon pertama dalam sejarah’ yang turut dibintangi oleh Tsumabuki Satoshi (Nobita), Ogawa Naoya (Giant), Yamashita Tomohisa (Suneo) dan Mizukawa Asami (Shizuka).

Sewaktu pengambaran iklan tersebut, kakitangan terpaksa menunjukkan aksi lompat keluar dari meja kepada Reno. Dia juga terpaksa membaca keratin akhbar yang mempunyai dialog bahasa Jepun berulang kali agar dia boleh mengingatnya.

Yamashita berkata: “Saya sangat seronok kerana belum pernah mengalami penggambaran iklan seperti ini. Pertama sekali gaya rambut saya memang menarik. Dengan watak Suneo, saya perlu berjanji untuk menjaga rambut saya dari setiap sudut ia digambarkan."

Sementara itu, Mizukawa menjelaskan: "Saya memainkan watak Shizuka yang berusia 30 tahun. Saya ingin menunjukkan sikap Shizuka yang berbeza berbanding ketika dia masih kecil. Jadi, sering meminta tunjuk ajar pengarah ketika di set."

Jumaat, 11 November 2011

L' Arc~en~Ciel Mengumumkan Tour Dunia 2012

L'Arc~en~Ciel mengumumkan sebahagian jadual tour dunia mereka untuk tahun 2012. Buat masa ini, tour yang berlangsung antara 3 Mac dan 14 April 2012 untuk 7 bandar telah pun diumumkan termasuklah perhentian di Madison Square Garden di New York.

Ini akan menjadikan L'Arc~en~Ciel artis Jepun pertama yang mengadakan konsert di Madison Square Garden. Tujuh bandar tersebut adalh Hong Kong, Bangkok, Shanghai, Taipei, New York, London dan Paris.

Sebelum ini, X Japan pernah menjadualkan konsert mereka di sana sebagai sebahagian daripada jelajah dunia 2008, tetapi terpaksa menangguhkan disebabkan masalah kesihatan Yoshiki.

X Japan Batalkan Konsert Beijing


X Japan telah membatalkan konsert mereka di Beijing yang telah dijadualkan pada 2 November. Ia adalah konsert pertama kumpulan ini di bandar tersebut. Walau pun X Japan berjaya mendapat kelulusan untuk konsert ini daripada kerajan China, agensi kumpulan ini berkata mereka membuat keputusan untuk membatalkannya ats penilaian promosi tempatan.

Dikatakan mereka menghadapi masalah dengan teknologi dan kerja-kerja produksi yang berkaitan dengan konsert tersebut.

X Japan dijadualkan untuk menjalankan jelajah Asia dari 29 Oktober hingga 8 November. Selain Beijing, kumpulan ini akan meneruskan konsert seprti yang dijadualkan di Seoul, Shanghai, Hong Kong, Taipei dan Bangkok.

Sudo Risa Melahirkan Anak Kedua

Sudo Risa telah membuat pengumuman melalui laman web agensi pengurusannya bahawa anak keduanya telah dilahirkan pada 20 Oktober lalu. Sudo berkahwin dengan vokalis kumpulan Boom Boom Satellites, Kawashima Michiyuki pada November 2006 dan mereka dikurniakan cahaya mata pertama pada Januari 2007.

Menurut agensi Sudo, Amuse, aktres berusia 35 tahun ini menumpukan untuk menjaga anaknya tetapi kepulangannya ke arena hiburan bergantung kepada kesihatannya dan mungkin pada awal tahun hadapan.

Jumaat, 4 November 2011

Suzuki Mariya Membintangi Filem Seram Pertamanya



Suzuki Mariya, ahli Team B dari AKB48 telah mendapat tawaran lakonan utama pertamanya. Dia akan membintangi filem seram berjodol Kokkuri-san The Movie, berdasarkan tilikan spiritual Kokkuri-san yang popular di kalangan pelajar Jepun.

Dalam filem tersebut, Suzuki melakonkan watak pelajar sekolah tinggi bernama Eri dan kematian misteri ibunya membuatkannya mendekati sumpahan Kokkuri-san.

Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Nagae Jiro. Kataoka Asuka akan melakonkan watak seorang cikgu, sementara Umemoto Shizuka akan kembali sebagai rakan Eri. Kokkuri-san: Gekijoban akan ditayangkan pada 26 November.

Khamis, 3 November 2011

Takaoka Sousuke Menubuhkan Agensi Pengurusan Baru


Takaoka Sousuke yang menarik diri daripada agensi pengurusannya pada musim panas ini (disebabkan kenyataan kontroversinya tentang populariti Korea di Jepun) telah menubuhkan agensi baru bernama No Where.

Pada 17 Oktober, Takaoka mengeluarkan kenyataan minta maaf melalui agnesi barunya. Dalam kenyataan ini, dia ingin mengelakkan diri daripada melakukan kenyataan yang sama, tetapi juga ingin menjadi matang supaya berbual secara bersemuka.

Dia biasa memaparkan detik-detik kehidupan mengenai hubungannya dengan isterinya, Miyazaki Aoi di Twitter tetapi berkata dia tidak boleh lagi berkongsi maklumat peribadi seperti itu.


Agensi baru Takaoka dilancarkan dua bulan lalu. Dia dijangka akan kembali berlakon dalam pementasan Kinkakuji yang akan berlangsung dari 27 Januari sehingga 12 Februari 2012 di Tokyo. Dia juga mendedahkan ada menerima tawaran filem, jadi dia meminta sokongan daripada para peminat.

Selasa, 25 Oktober 2011

Kulit Buku Palsu: Kenapa Orang Jepun Suka Merenung Orang Asing?


Sesiapa yang meluangkan masa di negara asing di mana kebanyakan orang tempatan berbeza dengan anda pasti sering mengalaminya.

Mereka berbisik atau merenung, satu perbuatan yang mengingatkan anda "berbeza" dengan mereka. Walau pun Tokyo adalah bandar kosmopolitan, ia masih berlaku. Tanya saja sesiapa yang pernah ke sana. Kebanyakan orang asing hanya boleh buat tak tahu saja. Tetapi tidak pada Arni Kristjansson.

Kristjansson, seorang ahli muzik dan DJ berusia 29 tahun dari Iceland menggunakan pengangkutan awam pada setiap hari. Memang tidak mahu menjadi "bahan pemerhatian" orang tempatan. Jadi dia menyelesaikan masalah ini dengan satu soalan, sebuah buku berjudul Kenapa Orang Jepun Suka Merenung Orang Asing?

Ideanya sungguh mudah. Cetakkan kulit buku ini dan balutkannya pada sebuah buku bahasa Jepun. Kemudian, sebaik saja anda ditenung di keretapi atau di tempat awam, apabila menjadi kurang selesa, keluarkan buku ini dan berpura-pura membacanya sambil membiarkan orang yang melihat anda nampak pembalut ini. Mereka akan sedar dengan tindakan mereka sendiri.

Namun, Kristjansson tidak merancang untuk menjual produk ini. Jadi, sesiapa yang ingin menggunakan idea ini bolehlah mereka dan mencetaknya sendiri.


Jumaat, 14 Oktober 2011

Mangsa "Along" Berkurangan 26%

Polis di Jepun berkata seramai 24,515 orang telah menjadi mangsa pinjaman haram pada separuh tahun pertama 2011, namun angka itu berkurangan 25.8% berbanding tahun lalu. Jumlah wang yang terlibat berkurangan 35.3% iaitu 4.2 bilion yen (+/- RM 168.5 juta).

Dari Januari hingga Jun, pihak polis telah menangkap 336 saspek pada 199 kes. Disebabkan akaun bank dengan nama korporat sering digunakan dalam jenayah, polis telah meminta Japan Post Bank dan Persatuan Bank Jepun untuk mengesahkan pemohon korporat memang wujud dengan pejabat sebenar sebelum membuka akaun.

Selain itu, sebanyak 24 insiden tembak-menembak turut berlaku dengan 17 daripadanya dikaitkan dengan sindiket jenayah. Diantaranya, sembilan dari 17 kes itu berkaitan dengan pergaduhan kumpulan di Wilayah Fukuoka.

Fudanjuku Mahu Mengambil Seorang Ahli Baru


Pada 26 September, kumpulan Fudanjuku mengumumkan mereka akan mengambil seorang ahli baru untuk kumpulan mereka. Fudanjuku adalah 'muka kedua' untuk kumpulan gadis Nakano Fujo Sisters dan mereka dikenali dengan konsep mereka yang unik.

Kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 2007 dan pad JUlai 201, ketua mereka Inui Yoko 'graduasi' dari unit ini. Sejak itu, unit ini menukar namanya dan mencari ahli baru dengan matlamat untuk meningkatkan pelbagai aktiviti.

Sasaran kumpulan ini adlh gadis berusia dari 14 hingga 24 tahun dan Fudanjuku akan menerima permohonan melalui laman web mereka hingga 27 Oktober. Produser kumpulan ini, Hanawa berkata, sejak Nadeshiko Japan (pasukan bola sepak wanita Jepun yang memenangi Piala Dunia 2011), terdapat banyak sokongan untuk wanita yang kuat.

Bagi saya, saya akan berikan Jepun tenaga melalui muzik! Saya berharap orang berbakat dan bersemangat tinggi akan memohon.


Sabtu, 8 Oktober 2011

Pembuat Votoms Hasilkan Robot Yang Boleh Dinaiki



Kurata Kogoro yang terkenal kerana menghasilkan patung Votoms berskala sebenar kini sedang membina patung besi setinggi 4 meter yang mempunyai kokpit dan mampu digerakkan.

Robot yang dinamakan Kuratas ini akan menggunakan perisian kawalan robotik V-Sidoyang dibangunkan oleh Yoshizaki Wataru untuk digerakkan. Dengan bantuan  Yoshizaki, Kurata mula membina robot ini sejak tahun lalu dan apabila siap dibina, ia mencapai berat sehingga 4 tan.

Robot ini menggunakan kuasa hidraulik yang dikuasakan dengan enjin diesel untuk digerakkan dan memiliki empat kaki yang dipasangkan roda pada setiap satunya. Kokpit terletak di dada robot dan mempunyai pintu yang digunakan kuasa hidraulik untuk dibuka dan ditutup.

Kurata menggambarkan robot ini sebagai robot perang humanoid permainan berkaki empat yang memiliki enjin. Lima tahun lalu, Kurata telah membina robot Scopedog British Custom yang juga dari siri Armored Trooper Votoms.

Khamis, 22 September 2011

Matsuyama Kenichi dan Koyuki Akan Menjadi Ibu Bapa

3 September, Matsuyama Kenichi dan Koyuki mengumumkan bahwa mereka kini menantikan kelahiran anak pertama mereka.

Dalam satu faks yang dihantar melalui agensi pengurusan mereka, Koyuki telah mengandung lima bulan, jadi tarikh kelahiran anaknya jatuh sekitar bulan Fenruari tahun hadapan.

Koyuki dikatakan dalam keadan yang stabil, akan terus bekerja dan ingin berlakon sehingga anknya dilahirkan.

Masih belum ditentukan bahawa bila dia akan mengambil cuti. Pasangan ini berkahwin pad 1 April yang lalu.

Rabu, 21 September 2011

Harga Tembikai Terlampau Tinggi


Tembikai, simbol kelegaan musim panas di negara matahari terbit kini semakin sukar untuk dinikmati disebabkan harga yang memuncak.

Disebabkan kekurangan hasil tanaman akibat cuaca yang tidak menentu, harga borong tembikai telah meningkat sebanyak 60% jika dibandingkan dengan harga biasa.

Kini harga sebiji tembikai telah menjangkaui 3 ribu yen (RM 115)! Jika musim panas semakin hangat, bekalan buah ini akan terus berkurangan. Itulah yang diperkatakan oleh pengedar buah-buahan.

Statistik Isi Rumah Jepun Untuk Separuh Tahun Pertama 2011


  • Jumlah penghuni setiap rumah: 2.17 orang.
  • Jumlah pembekal sara setiap rumah: 0.7 orang
  • Purata usia ketua rumah: 68.1 tahun
  • Kadar hak milik rumah: 82.7%
  • Kadar penduduk sewa: 15.5%
  • Pendapatan purata bulanan setiap rumah: 440,675 yen (RM 17,080)