Rabu, 21 September 2011

Harga Tembikai Terlampau Tinggi


Tembikai, simbol kelegaan musim panas di negara matahari terbit kini semakin sukar untuk dinikmati disebabkan harga yang memuncak.

Disebabkan kekurangan hasil tanaman akibat cuaca yang tidak menentu, harga borong tembikai telah meningkat sebanyak 60% jika dibandingkan dengan harga biasa.

Kini harga sebiji tembikai telah menjangkaui 3 ribu yen (RM 115)! Jika musim panas semakin hangat, bekalan buah ini akan terus berkurangan. Itulah yang diperkatakan oleh pengedar buah-buahan.

Statistik Isi Rumah Jepun Untuk Separuh Tahun Pertama 2011


  • Jumlah penghuni setiap rumah: 2.17 orang.
  • Jumlah pembekal sara setiap rumah: 0.7 orang
  • Purata usia ketua rumah: 68.1 tahun
  • Kadar hak milik rumah: 82.7%
  • Kadar penduduk sewa: 15.5%
  • Pendapatan purata bulanan setiap rumah: 440,675 yen (RM 17,080)

Ahad, 21 Ogos 2011

Horikita Maki Sebagai Sukarelawan di Jakarta untuk 24 Hour Television


Horikita Maki baru-baru ini berkunjung ke Jakarta untuk membuat laporan tentang rancangan televisyen khas NTV, 24 Hour Television 34 ~Ai wa Chikyuwo Sukuu (Kasih Sayang Menyelamat Bumi).

Bulan lalu, Horikita telah diumumkan sebagai salah seorang bintang yang menawarkan diri untuk program tersebut dan dia menyertai sukarelawan Jepun lain di kawasan tersebut.

Salah satu projek mereka termasuklah perpustakaan mudah alih, di mana mereka akan menemui kanak-kanak di pelbagai lokasi untuk mereka membaca buku-buku bergambar Jepun yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia.

Dia juga seorang ulat buku dan Horikita berseronok membantu perpustakaan mudah alih ini dan cuba membaca buku-buku dalam bahasa Indonesia dengan kuat untuk kanak-kanak pada hari terakhirnya.

Dia turut mengadakan pertunjukkan boneka, bermain bola keranjang bersama kanak-kanak serta mengajar mereka Origami iaitu seni melipat kertas Jepun. 

Horikita menjelaskan: "Saya boleh menyaksikan realiti kanak-kanak ini dengan mata saya sendiri serta dengan cara saya sendiri, mendapati sesuatu yang boleh dilakukan untuk kanak-kanak ini. Saya nak semua orang menyaksikan penduduk negara kita yang menganjurkan perpustakaan mudah alih ini, serta raut wajah kanak-kanak yang membaca buku-buku ini." 

Laporan khas untuk 24 Hour Television 34 disiarkan di saluran NTV pada 20-21 Ogos.


Joe Yamanaka Meninggal Dunia

Pagi 7 Ogos, penyanyi rock Joe Yamanaka (nama sebenar Yamanaka Akira) meninggal dunia pada usia 64 tahun di sebuah hospital di Yokosuka, Wilayah Kanagawa.

Sebab kematiannya adalah kanser paru-paru yang telah dikesan pada Mac 2010 dan upacara pengebumian telah diadakan di Shinagawa, Tokyo pada 12 Ogos. Yamanaka lebih dikenali sebagai vokalis kumpulan rock Flower Travellin' Band yang ditubuhkan pada tahun 1968.

Selepas kumpulan ini berpecah pada 1973, Yamanaka menjalankan karier solo. Dia turut membuat kemunculan di televisyen dan filem. Yamanaka begitu aktif dengan kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan di dalam dan di luar Jepun.

Baru-baru ini dia telah menyertai aktiviti mengutip dana dan konsert amal untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di daerah Tohoku. Namun, pada lewat Julai, dia dimasukkan ke hospital selepas serangan jantung.


Jumaat, 12 Ogos 2011

Vokalis Kagrra Mati Pada Usia 32 Tahun


Pada 26 Julai, diumumkan Isshi, vokalis kumpulan Kagrra telah meninggal dunia pada usia 32 tahun di rumahnya pada 18 Julai. Disebabkan keinginan keluarganya, sebab kematian tidak didedahkan dan pengebumian sulit telah diadakan.

Isshi dilaporkan sihat ketika satu majlis pada 15 Julai. Sejak pembubaran Kagrra pada Mac tahun ini, Isshi banyak bekerja secara solo, Shiki~Project telah pun melengkapkan CD pertamanya yang akan diterbitkan pada September ini.

Dia bercadang untuk mengadakan dua persembahan pada 28-29 Julai di Act Square di Ebisu, Tokyo tetapi kini ia telah menjadi acara berkabung.

Takei Emi Sebagai Kamiya Kaoru Dalam Filem Aksi Sebenar Rurouni Kenshin



Pelakon heroin Rurouni Kenshin telah pun disahkan. Bintang berusia 17 tahun, Takei Emi akan melakonkan watak Emiya Kaoru.

Filem tersebut berdasarkan manga popular Watsuki Nobuhiro yang baru sahaja disahkan pada bulan lalu. Pengambaran akan bermula pada bulan ini, jadi Takei bersedia dengan menjalani latihan teknik berpedang serta kemahiran berkaitan dengannya.

Rurouni akan ditayangkan untuk musim panas 2012.

Nenek 99 Tahun Main Nintendo Setiap Hari



Narisawa Umeji, seorang nenek berusia 99 tahun dari Sendai bermain permainan video pada setiap hari. Mainan pilihannya, Bomberman versi Famicom. Dia mula bermain sejak 26 tahun lalu selepas menyedari cucu-cucunya begitu seronok bermain permainan tersebut.

Bermain Bomberman selama beberapa jam sehari kini telah menjadi rutin sehariannya.

Setelah bertahun-tahun bermain menjadikan Narisawa mahir bermain. Dia telah menyelesaikan 50 tahap permainan ini berulang kali. Ada beberapa hari dia menghabiskan permainan ini sebanyak dua kali.

Bermain Bomberman setiap hari menjadikannya lebih peka. Menekan butang-butang permainan video memudahkan jarinya menguruskan jarum.

Daging Dicemari Radiasi Tersebar ke Pasaran Jepun

(2011-07-31)

Sejak beberapa minggu yang lalu, Jepun dibebani masalah daging radioaktif selepas mendapati sistem menguji daging sedia ada membenarkan lembu yang tercemar disembelih dan dagingnya dijual di seluruh negara.

Daging tersebut mengandungi paras radioaktif yang melepasi standard Jepun, tetapi tahap pencemaran sangat rendah dan menurut pihak berkuasa, “ia tidak akan mendatangkan bahaya jika dimakan”.

Namun, situasi ini telah menyebabkan kejatuhan harga daging tempatan dan pengguna mula memilih daging import.

Jumaat, 29 Julai 2011

Takero Sato Jadi Samurai X

Takero Sato akhirnya dipilih untuk membawakan watak utama adaptasi manga popular "Rurouni Kenshin" @ "Samurai X" yang bakal diterbitkan dalam bentuk filem aksi benar tidak lama lagi.

Menurut jurucakap Warner Bros, pihaknya memilih Sato kerana filem tersebut memerlukan pelakon yang berkaliber. "Semua orang tahu Rurouni Kenshin adalah hasil seni yang asli. Oleh yang demikian, kami memilih Sato untuk membawakan watak Himura." Kata jurucakap tersebut.

Sato yang sebelum ini dikenali menerusi filem Kamen Rider Den-O memberitahu, dia akan membawakan yang terbaik serta memastikan apa yang dilakukannya dalam filem tersebut selaras dengan karakter yang terdapat dalam manga.


Khamis, 21 Julai 2011

Aiba Masaki Dimasukkan Ke Hospital


Agensi pengurusan Johnny's Jimusho telah mengumumkan bahawa ahli Arashi, Aiba Masaki telah dimasukkan ke hospital disebabkan Pneumothorax (penyakit paru-paru).

Pada malam 28 Jun, Aiba mengadu sakit dada selepas selesai rakaman untuk rancangan televisyen Arashi ni Shiyagare. Dia telah dibawa ke hospital untuk diperiksa, dan doktor mengesahkan pneumothorax . Lalu Aiba ditempatkan ke dalam wad.

Aiba diperiksa sekali lagi pada keesokan pagi dan disahkan mengalami masalah dengan paru-paru kirinya. Dia dinasihatkan untuk terus berada di hospital selama seminggu. Disebabkan Aiba dimasukkan ke hospital, dia telah membatalkan semua temu bualnya. Dia juga tidak hadir untuk raptai Arashi pada 30 Jun dan 1 Julai untuk jelajah yang akan bermula pada 24 Julai ini.

Ini adalah kali kedua Aiba mengalami pneumothorax. Pada Mac 2002, dia mengalami masalah yang sama dengan paru-paru kanan kerana berlatih bermain saksofon terlalu kerap untuk sebuah projek rancangan televisyen. Dia menjalani pembedahan untuk rawatannya pada ketika itu, namun tidak perlu kali ini.


Rabu, 6 Julai 2011

Sekai no Owari Ke Aliran Utama


Kumpulan rock Sekai no Owari akan membuat kemunculan sulung mereka dengan label utama pada musim panas ini.

Mereka telah menandatangani syarikat rakaman Toy's Factory dan single pertama mereka INORI (Berdoa) akan dijual pada 17 Ogos. Selain itu, kumpulan ini telah menukar cara menulis nama mereka dari tulisan Jepun kepada Romaji: Sekai no Owari yang bermaksud ketamatan dunia.

Kumpulan ini ditubuhkan dan membuat persembahan beberapa tahun yang lalu, tetapi tidak pernah melancarkan single indie sehinggalah Februari 2010. Mereka semakin popular dan sebelum pengumuman ini mereka telah dijadualkan untuk mengadakan konsert Nippon Budokan pertama pada November tahun ini.

Single terbaru INORI mengandungi tiga buah lagu iaitu Kachofugetsu (Bunga, Burung, Angin, Bulan), Fushicho (Burung Kebal) dan Never Ending World.


Seiyu Kawakami Tomoko Meninggal Dunia

Pihak agensi Production Baobab mengumumkan pelakon suara (seiyu) Tomoko Kawakami telah meninggal dunia pada 9 Jun, pada usia 41 tahun selepas menderita kanser ovari sejak Ogos 2008. Dia adalah seiyu utama bagi siri Revolutionary Girl Utena, Hikaru no Go, Sugar: A Little Snow Fairy, Air dan banyak siri anime lain.

Kawakami membuat kemunculan pertama pada tahun 1994 untuk siri anime Metal Fighter Miku dan wataknya termasuklah Fuyuki Hinata (Keroro Gunso) dan Miu Furinji (Kenichi The Mightiest Disciple).

Kawakami dirawat sejak 2008 dan sejak itu mula menjalani pembedahan. Akibat sakit, dia terpaksa melepaskan watak Kaoru yang diadaptasi dari siri manga Ikoku Irokoi Romantan oleh Yamane.


Magazine E-no Akan Digantikan

Laman web Magazine E-no telah mengumumkan bahawa majalah itu akan menamatkan terbitannya pada isu ke-14 dan akan digantikan oleh majalah baru pada Oktober nanti.

Dalam pengumuman itu juga, tiga manga dari Magazine E-no; Sakura Taisen: Mangaban Dainibu (Sakura Wars Part 2) oleh Ikku Masa, Red Eyes oleh Jun Shindo dan Q.E.D oleh Motohiro Katou akan disambung dalam majalah baru.

Tentang tankobon bagi manga yang diterbitkan dalam majalah berkenaan pula akan diumumkan kemudian. Antara manga lain yang diterbitkan dalam Magazine E-no ialah Danshi no Majo oleh Ichiru Yasuhara, Golf 13 oleh Maruboro Akai, Hanbijiburu oleh Takeshi Hirai dan Meteo-san Strike Desu! oleh Takuji.


Isnin, 13 Jun 2011

Berita Baik Untuk Peminat Ouran & Hana-Kimi


Majalah LaLa isu Julai telah mengumumkan bahawa siri televisyen aksi benar berdasarkan manga komedi romantik Bisco Hitori, Ouran High School Host Club, bakal diterbitkan.

Siri yang akan ditayangkan di rangkaian TBS ini menampilkan Yusuke Yamamoto sebagai presiden kelab, Tamaki Suoh, dan Haruna Kawaguchi sebagai heroin, Haruhi Fujioka.

Ia mengisahkan pelajar baru, Haruhi, yang menyamar sebagai budak lelaki supaya dapat menyertai kelab host bagi menyelesaikan hutangnya.



Dalam pengumuman yang lain, Atsuko Maeda dari kumpulan AKB48 akan memegang watak utama pertamanya dalam siri Hana Zakari no Kimi tachi e ~Ikemen Paradise~, siri aksi benar baru yang akan ditayangkan di Fuji TV pada Julai nanti.

Manga ini telah pun diadaptasi sebagai siri aksi benar dengan tajuk sama pada 2007, dibintangi oleh Maki Horikita, Shun Oguri dan Toma Ikuta. AKB48 akan menyanyikan lagu tema siri baru ini dan single tersebut dijadualkan dipasaran pada Ogos nanti.



Idola Virtual Hatsune Miku di Anime Expo



Persatuan Promosi Animasi Jepun telah mengumumkan bahawa idola virtual, Hatsune Miku, akan “membuat persembahan” dalam konsert yang diadakan pada 2 Julai di Anime Expo. Karakter ini pernah “muncul” dalam konsert di Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara lain menerusi skrin.

Menurut laman web rasmi, konsert ini akan menampilkan beberapa pembaharuan dari acara asal, 39’s Giving Day, yang diadakan di Jepun pada 9 Mac 2010.

Visual untuk konsert baru ini akan dihasilkan oleh SEGA dengan kerjasama Crypton Future Media, syarikat yang mencipta Hatsune Miku pada 2007.

Pengumuman Mengejut Uji Bakat Ahli Baru S/mileage Daripada Tsunku



Pada 29 Mei, kumpulan idola Hello! Project, S/mileage mengadakan acara untuk meraikan ulang tahun pertama kemunculan label utama mereka. Dalam acara tersebut, sebuah video pesanan daripada produser Tsunku yang mengejutkan telah mengumumkan kumpulan itu akan mengadakan uji bakat untuk ahli baru yang hanya dibuka kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi.

Dalam pesanan video tersebut, Tsunku mengucapkan tahniah kepada empat ahli S/mileage, tetapi secara tiba-tiba mengesahkan “S/mileage kekurangan sesuatu.” Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk mengadakan uji bakat pertama kumpulan ini.

Berita ini mengejutkan semua peminat dan juga kumpulan ini. Menurut Tsunku, ada kemungkinan ada ahli yang akan ditendang dan menimbulkan kekecohan di kalangan peminat.

Bilangan rekrut baru masih belum ditentukan, tetapi ia mungkin diadakan seawal September. Temu bual untuk uji bakat akan diadakan di Shibuya pada tiga hujung minggu pertama bulan Jun.

Pemohon yang lulus akan diumumkan pada 14 Ogos. Dikatakan Tsunku dan ahli-ahli S/mileage mungkin akan menghadiri temu bual tersebut. S/mileage kini terdiri daripada Ogawa Saki, Maeda Yuka, Wada Ayaka dan Fukuda Kanon.

Jumaat, 3 Jun 2011

Zone Bergabung Semula Hanya Pada Ogos

Masih ingat Zone? Band yang terdiri daripada empat gadis pada 10 tahun yang lalu akan bergabung semula untuk sebuah single pada bulan Ogos nanti.

Walau pun pemain dram Mizuhi telah bersara dari dunia hiburan, penggabungan semula ini akan menyatukan tiga ahli yang lain iaitu Miyu, Maiko dan Tomoka.

Zone membuat kemunculan sulung mereka pada tahun 2001 dan akhirnya dibubarkan pada tahun 2005. Mereka mengambil keputusan untuk kembali bersama pada bulan Ogos 2011 yang menandakan ulang tahun ke 10 lagu popular mereka, Secret Base: Kimi ga Kureta Mono (Secret Base: Benda Yang Awak Berikan).

Dengan itu, mereka telah merealisasikan lirik lagu mereka yang berbunyi, "Percayalah kita akan bertemu semula pada bulan Ogos sepuluh tahun kemudian."

Kumpulan ini akan mengadakan dua konsert penyatuan pada 14 dan 15 Ogos di Akasaka Blitz, Tokyo.

Selain itu, Zone juga akan melancarkan album pada 10 Ogos berjudul Zone Tribute~Kimi ga Kureta Mono~. Album ini menampilkan artis-artis wanita daripada generasi yang sama dengan Zone menyanyikan lagu mereka.

Konsert Ulang Tahun L' Arc~en~Ciel Ditayangkan Secara Langsung di Pawagam Jepun & Luar Negara

Tayangan langsung (live streaming) konsert di pawagam telah menjadi trend insudtri muzik Jepun dan L' Arc~en~Ciel melangkah lebih jauh dengan membawanya ke luar negara.

Konsert ulang tahun kumpulan ini di Ajinomoto Stadium pada 28-29 Mei ditayangkan secara langsung ke 40 pawagam di seluruh Jepun dan 6 pawagam di luar Jepun, namun akan ada sedikit kelewatan disebabkan perbezaan zon masa.

Pawagam di luar negara adalah di Paris, London, New York, Taipei, Hong Kong dan Seoul. Dua konsert tersebut diadakan sempena ulang tahun yang ke 20 kumpulan rock gergasi ini.

Pada hujung Mac, L' Arc~en~Ciel mengumumkan mereka telah mengambil keputusan untuk menyumbangkan semua kutipan konsert ini ke bantuan bencana, manakala sebahagian daripada kutipan di pawagam juga akan disumbangkan.