Rabu, 6 Julai 2011

Seiyu Kawakami Tomoko Meninggal Dunia

Pihak agensi Production Baobab mengumumkan pelakon suara (seiyu) Tomoko Kawakami telah meninggal dunia pada 9 Jun, pada usia 41 tahun selepas menderita kanser ovari sejak Ogos 2008. Dia adalah seiyu utama bagi siri Revolutionary Girl Utena, Hikaru no Go, Sugar: A Little Snow Fairy, Air dan banyak siri anime lain.

Kawakami membuat kemunculan pertama pada tahun 1994 untuk siri anime Metal Fighter Miku dan wataknya termasuklah Fuyuki Hinata (Keroro Gunso) dan Miu Furinji (Kenichi The Mightiest Disciple).

Kawakami dirawat sejak 2008 dan sejak itu mula menjalani pembedahan. Akibat sakit, dia terpaksa melepaskan watak Kaoru yang diadaptasi dari siri manga Ikoku Irokoi Romantan oleh Yamane.


Magazine E-no Akan Digantikan

Laman web Magazine E-no telah mengumumkan bahawa majalah itu akan menamatkan terbitannya pada isu ke-14 dan akan digantikan oleh majalah baru pada Oktober nanti.

Dalam pengumuman itu juga, tiga manga dari Magazine E-no; Sakura Taisen: Mangaban Dainibu (Sakura Wars Part 2) oleh Ikku Masa, Red Eyes oleh Jun Shindo dan Q.E.D oleh Motohiro Katou akan disambung dalam majalah baru.

Tentang tankobon bagi manga yang diterbitkan dalam majalah berkenaan pula akan diumumkan kemudian. Antara manga lain yang diterbitkan dalam Magazine E-no ialah Danshi no Majo oleh Ichiru Yasuhara, Golf 13 oleh Maruboro Akai, Hanbijiburu oleh Takeshi Hirai dan Meteo-san Strike Desu! oleh Takuji.


Isnin, 13 Jun 2011

Berita Baik Untuk Peminat Ouran & Hana-Kimi


Majalah LaLa isu Julai telah mengumumkan bahawa siri televisyen aksi benar berdasarkan manga komedi romantik Bisco Hitori, Ouran High School Host Club, bakal diterbitkan.

Siri yang akan ditayangkan di rangkaian TBS ini menampilkan Yusuke Yamamoto sebagai presiden kelab, Tamaki Suoh, dan Haruna Kawaguchi sebagai heroin, Haruhi Fujioka.

Ia mengisahkan pelajar baru, Haruhi, yang menyamar sebagai budak lelaki supaya dapat menyertai kelab host bagi menyelesaikan hutangnya.



Dalam pengumuman yang lain, Atsuko Maeda dari kumpulan AKB48 akan memegang watak utama pertamanya dalam siri Hana Zakari no Kimi tachi e ~Ikemen Paradise~, siri aksi benar baru yang akan ditayangkan di Fuji TV pada Julai nanti.

Manga ini telah pun diadaptasi sebagai siri aksi benar dengan tajuk sama pada 2007, dibintangi oleh Maki Horikita, Shun Oguri dan Toma Ikuta. AKB48 akan menyanyikan lagu tema siri baru ini dan single tersebut dijadualkan dipasaran pada Ogos nanti.



Idola Virtual Hatsune Miku di Anime Expo



Persatuan Promosi Animasi Jepun telah mengumumkan bahawa idola virtual, Hatsune Miku, akan “membuat persembahan” dalam konsert yang diadakan pada 2 Julai di Anime Expo. Karakter ini pernah “muncul” dalam konsert di Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara lain menerusi skrin.

Menurut laman web rasmi, konsert ini akan menampilkan beberapa pembaharuan dari acara asal, 39’s Giving Day, yang diadakan di Jepun pada 9 Mac 2010.

Visual untuk konsert baru ini akan dihasilkan oleh SEGA dengan kerjasama Crypton Future Media, syarikat yang mencipta Hatsune Miku pada 2007.

Pengumuman Mengejut Uji Bakat Ahli Baru S/mileage Daripada Tsunku



Pada 29 Mei, kumpulan idola Hello! Project, S/mileage mengadakan acara untuk meraikan ulang tahun pertama kemunculan label utama mereka. Dalam acara tersebut, sebuah video pesanan daripada produser Tsunku yang mengejutkan telah mengumumkan kumpulan itu akan mengadakan uji bakat untuk ahli baru yang hanya dibuka kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi.

Dalam pesanan video tersebut, Tsunku mengucapkan tahniah kepada empat ahli S/mileage, tetapi secara tiba-tiba mengesahkan “S/mileage kekurangan sesuatu.” Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk mengadakan uji bakat pertama kumpulan ini.

Berita ini mengejutkan semua peminat dan juga kumpulan ini. Menurut Tsunku, ada kemungkinan ada ahli yang akan ditendang dan menimbulkan kekecohan di kalangan peminat.

Bilangan rekrut baru masih belum ditentukan, tetapi ia mungkin diadakan seawal September. Temu bual untuk uji bakat akan diadakan di Shibuya pada tiga hujung minggu pertama bulan Jun.

Pemohon yang lulus akan diumumkan pada 14 Ogos. Dikatakan Tsunku dan ahli-ahli S/mileage mungkin akan menghadiri temu bual tersebut. S/mileage kini terdiri daripada Ogawa Saki, Maeda Yuka, Wada Ayaka dan Fukuda Kanon.

Jumaat, 3 Jun 2011

Zone Bergabung Semula Hanya Pada Ogos

Masih ingat Zone? Band yang terdiri daripada empat gadis pada 10 tahun yang lalu akan bergabung semula untuk sebuah single pada bulan Ogos nanti.

Walau pun pemain dram Mizuhi telah bersara dari dunia hiburan, penggabungan semula ini akan menyatukan tiga ahli yang lain iaitu Miyu, Maiko dan Tomoka.

Zone membuat kemunculan sulung mereka pada tahun 2001 dan akhirnya dibubarkan pada tahun 2005. Mereka mengambil keputusan untuk kembali bersama pada bulan Ogos 2011 yang menandakan ulang tahun ke 10 lagu popular mereka, Secret Base: Kimi ga Kureta Mono (Secret Base: Benda Yang Awak Berikan).

Dengan itu, mereka telah merealisasikan lirik lagu mereka yang berbunyi, "Percayalah kita akan bertemu semula pada bulan Ogos sepuluh tahun kemudian."

Kumpulan ini akan mengadakan dua konsert penyatuan pada 14 dan 15 Ogos di Akasaka Blitz, Tokyo.

Selain itu, Zone juga akan melancarkan album pada 10 Ogos berjudul Zone Tribute~Kimi ga Kureta Mono~. Album ini menampilkan artis-artis wanita daripada generasi yang sama dengan Zone menyanyikan lagu mereka.

Konsert Ulang Tahun L' Arc~en~Ciel Ditayangkan Secara Langsung di Pawagam Jepun & Luar Negara

Tayangan langsung (live streaming) konsert di pawagam telah menjadi trend insudtri muzik Jepun dan L' Arc~en~Ciel melangkah lebih jauh dengan membawanya ke luar negara.

Konsert ulang tahun kumpulan ini di Ajinomoto Stadium pada 28-29 Mei ditayangkan secara langsung ke 40 pawagam di seluruh Jepun dan 6 pawagam di luar Jepun, namun akan ada sedikit kelewatan disebabkan perbezaan zon masa.

Pawagam di luar negara adalah di Paris, London, New York, Taipei, Hong Kong dan Seoul. Dua konsert tersebut diadakan sempena ulang tahun yang ke 20 kumpulan rock gergasi ini.

Pada hujung Mac, L' Arc~en~Ciel mengumumkan mereka telah mengambil keputusan untuk menyumbangkan semua kutipan konsert ini ke bantuan bencana, manakala sebahagian daripada kutipan di pawagam juga akan disumbangkan.

Selasa, 24 Mei 2011

Sato Kochio Berhadapan 7 Saspek Dalam Drama Misteri


Sato Kuchi membintangi watak seorang detektif polis dalam drama istimewa TV Asahi yang berjudul Saigo no Bansan.

Barisan pelakon turut menampilkan tujuh nama-nama terkemuka sebagai saspek sebuah kes yang sukar iaitu Narimiya Hiroki, Nishida Toshiyuki, Kuroki Hitomi, Adachi Yumi, Hongo Kanata, Ishiguro Ken dan Nakao Akira.

Saigi no Bansan adalah karya asal penulis skrip terkemuka Inoue Yumiko. Kebanyakan babak berlaku di restoran, di mana 11 pengunjung yang dijemput akan terlibat dalam satu insiden.

Plotnya mula berkembang ketika usaha mencari penjenayah dijalankan kerana motif dan masa silam setiap saspek diterokai. Kisah ini menyentuh isu-isu seperti hubungan manusia dan kegelapan hati manusia.

Sadie dan Scandal Akan Naik Pentas AM2

AM2, konvokesyen animasi, muzik dan manga di Anaheim Convention Center, California, Amerika Syarikat telah mengumumkan dua kumpulan Jepun sebagai bintang jemputannya.

Sadie(atas pertama) dan Scandal akan membuat persembahan di acara yang berlangsung dari 1 hingga 3 Julai ini.

Jumaat, 20 Mei 2011

Manga Bokura Tamat Pada 2012

Penghasil manga Yuuki Obata akan menamatkan siri shojo romantik We Were There (Bokura ga Ita) pada masa yang sama adaptasi filem aksi benarnya ditayangkan di Jepun pada musim bunga akan datang.

Produser dua filem berkenaan telah berbincang dengan Obata bagi memastikan manga dan filem mempunayi penamat yang sama.

Takahiro Miki mengarah filem ini manakala Toma Ikuta dan Yuriko Yositaka akan memegang watak utama.

Ia mengisahkan seorang gadis bernama Nanami Takahashi yang perlu mempertahankan hubungannya dengan Motoharu Yano, pelajar lelaki popular di sekolahnya semasa sekolah tinggi yang juga mempunyai masalah tersendiri.

14 jilid manga ini terjual sebanyak 10 juta salinan di Jepun sejak 2002. Manga ini telah pun diadaptasi sebagai siri anime televisyen pada 2006 oleh Artland.

Gonzo, Miku Hasilkan Anime Copihan


Studio anime Gonzo mengumumkan bahawa mereka sedang bekerja sama dengan pereka karakter KEI, Hatsune Miku, dalam anime yang dipanggil Copihan.

Ini merupakan karya komedi slapstik sekolah yang berlatarkan Tokyo pada 2034. Laman web rasmi dan akaun Twitter juga telah dilancarkan. Versi manga telah pun diterbitkan dalam majalah Comic Rush pada isu Januari 2011.

Selain anime ini, projek Gonzo yang lain juga telah dipersembahkan dalam majlis pengenalan iaitu Last Exile: Ginyoku no Fam (Last Exile: Fam, The Silver Wing) dan Nyanpire The Animation.

Seperti dua projek lain, Gonzo juga telah menayangkan video promosi bagi Copihan di Machi Asobi, laman web Gigazime.

Khamis, 5 Mei 2011

Presiden Kodansha Meninggal Dunia

Noma Sawako, presiden yang telah menerajui syarikat penerbitan besar Kodansha selama 24 tahun telah meninggal dunia pada 30 Mac lalu disebabkan kegagalan jantung.

Mendiang berusia 67 tahun. Tempat mendiang bakal digantikan oleh anak lelakinya, Noma Yoshinobu sebagai presiden baru Kodansha.

Jumaat, 22 April 2011

Marching J Menarik 389,000 Penonton


Acara amal Johnny Jimusho, Marching J telah diadakan di Yoyogi National Gymnasium, Tokyo untuk mengutip derma buat kawasan Tohoku yang telah dilanda gempa bumi dan tsunami.

Dianggarkan acara ini telah mencatat jumlah pengunjung seramai 389,000 orang dalam tiga hari. Namun, jumlah kutipan masih belum didedahkan.



Saksikan laporannya di http://tiny.cc/laomr

L’Arc~en~Ciel Derma Kutipan Konsert



L’Arc~en~Ciel mengumumkan bahawa mereka akan mendermakan semua keuntungan yang diperolehi dalam konsert ulang tahun ke 20 kepada usaha memulihkan kawasan Tohoku.

Kumpulan ini telah pun merancangkan dua konsert yang dijadualkan di Ajinomoto Stadium, Tokyo pada 28 dan 29 Mei.

Dalam pengumuman mereka di laman web rasmi, ahli-ahli dan kakitangan telah mendedahkan mereka akan menyalurkan pendapatan konsert ini untuk pemulihan semula kawasan yang terjejas teruk.

Kakitangan mereka turut mengambil langkah tambahan berkaitan kebimbangan keselamatan dan penggunaan tenaga elektrik ketika konsert sedang berlangsung.

Tiga Kumpulan Visual Rock Merancang Lagu Amal


Kumpulan visual rock DaizyStripper (bawah), A dan Fest Vainqueur (atas) telah melancarkan projek amal untuk menyumbang dalam usaha memulihkan kawasan Tohoku yang dilanda bencana.



Tiga kumpulan ini akan bekerjasama untuk mencipta sebuah lagu amal dan bercadang untuk menjemput lebih ramai artis dari label rakaman dan agensi pengurusan yang lain. Mereka turut merancang untuk mengadakan beberapa aktiviti amal.


Isnin, 18 April 2011

Marching J - Projek amal Johnny's Jimusho


Johnny's Jimusho telah mengumumkan permulaan projek amal bernama Marching J yang akan melibatkan kesemua artisnya. Projek ini dibuat berdasarkan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda daerah Tohoku pada bulan lalu dan memberi bantuan kepada kawasan-kawasan yang terlibat.

Aktiviti pertama Marching J adalah acara mengumpul derma di Yoyogi National Gymnasium pada 1 hingga 3 April. Hampir kesemua artis Johnny's akan mengambil bahagian dalam acara ini. Ahli Johnny's yang masih belum diperkenalkan turut melibatkan diri, menjadikan jumlah peserta melebihi 100 orang.

Acara ini berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang selama tiga hari dengan mengadakan sesi perbualan dan aktiviti lain. Derma akan diterima sehingga jam 5 petang setiap hari.

Para artis Johnny's muncul di acara tersebut pada masa lapang di jadual kerja mereka dan kira-kira 10 artis menjadi hos utama dan berada di sana sepanjang hari.

Slogan untuk acara ini adalah Denki o Tsukawazu Genki o Tsukaou, yang bermaksud "Gunakan tenaga tanpa menggunakan tenaga elektrik".

Turut diumumkan adalah acara besbol amal yang akan diadakan di Tokyo Dome pada 29 Mei yang juga melibatkan ahli-ahli Johnny's Jr.

Mizushima Hiro Menjadi Ketua Editor Majalah

Mizushima Hiro telah dilantik sebagai ketua editor majalah fesyen dan gaya hidup baru, Global Work yang mensasarkan pembaca lelaki dan perempuan dalam lingkungan usia 20 hingga 30an.

Majalah ini dirancangkan untuk jadual separuh tahunan, dengan isu bulan Mac dan September akan diterbitkan pada setiap tahun.

Global Work diterbitkan oleh jenama pakaian kasual dengan jenama yang sama. Saito Kazuhiro yang mempunyai pengalaman bersama Vogue Nippon, GQ Jalan, Brutus dan majalah lain akan menjadi penasihat editor, manakala Fujimoto Yasushi yang telah mengusahakan pelbagai jenis majalah dilantik sebagai pengarah seni.

Dengan projek ini, Mizushima akan terus memperluaskan kerjayanya. Tahun lalu, dia muncul sebagai penulis novel dan baru-baru ini menulis dan mengarah video muzik untuk lagu kumpulan Girl Next Door, Silent Scream.

Ahad, 17 April 2011

Kini Tsunku Mempunyai Tiga Anak

Pada 18 MAc, pemuzik dan produser terkenal Tsunku mengemaskini blognya dan mengumumkan kelahiran anak ketiganya. Isterinya melahirkan anak perempuan pada 16 MAc, dua minggu lebih awal daripada yang dijangka.

Dilaporkan anaknya sihat. Dua anak Tsunku yang lain adalah anak kembar lelaki dan perempuan yang lahir pada tahun 2008.


Sabtu, 9 April 2011

43 Manga-ka Adakan Jualan Amal

Rumiko Takahashi (Ranma), Monkey Punch (Lupin), Yudetamago (Kinnikuman) dan lebih 50 penghasil manga lain telah mengadakan jualan amal bagi membantu mangsa gempa bumi Jepun.

Acara ini telah diadakan di Utsunomiya pada 3 April. Antara manga-ka yang terlibat ialah Tetsuya Chiba, Seichi Tanaka, Rumiko Takahashi, Yutaka Abe, Keiko Honda, Chie Shinohara, Momota Nakahara, Showshow Kurihara, Meguru Hinomoto, Monkey Punch, Minami Ozaki, Shoei Ishioka, Juichi Iogi, Akira Himekawa dan banyak lagi.

Manga Komedi Romantik Moteki Dijadikan Filem

Majalah Evening telah mengumumkan bahawa adaptasi filem bagi manga komedi romantik MOteki yang dihasilkan Mitsurou Kubo telah pun mendapat kebenaran.

Manga ini mengisahkan "urban legend" bahawa ada suatu ketika, lelaki berusia lewat 20an, bujang, miskin dan tanpa masa depan yang cerah, akan menjadi popular di kalangan wanita (mote-ki).

Yukio Fujimoto ialah pekerja sementara yang tidak bernasib baik dalam perihal romantik tetapi mengalami mote-ki ketika berusia mencapai 30 tahun.

Tarikh tayangan, jalan cerita dan maklumat lanjut akan diberitahu kemudian. Tahun lalu, manga ini telah menjadi inspirasi siri televisyen aksi benar dengan Mirai Mitsushima dan Rinko Kikuchi akan memegang watak sebagai wanita yang tiba-tiba berminat dengan Fujimoto.