Jumaat, 3 September 2010

Paradise Kiss Jadi Filem



Populariti komik atau anime Paradise Kiss yang begitu berpengaruh di Jepun nampaknya telah membuatkan komik ini bakal diadaptasi dalam bentuk filem.

Menggabungkan kisah cinta dan fesyen, komik yang bakal difilemkan itu dikatakan akan menyaksikan Kitagawa Keiko membawa watak Hayasaka Yukari dan Joji (George) bakal dimainkan oleh Mukai Osamu.

Antara pelakon lain yang terlibat termasuklah Yamamoto Yusuke, Igarashi Shunji, Kaku Kento, Ohsama Aya dan Kato Natsuki juga dikatakan akan terlibat sama. Hanya peranan mereka sahaja belum diumumkan.

Naked Boyz Dilancarkan


19 Ogos, Jepun menyaksikan kelahiran kumpulan lelaki terbesarnya. Dipanggil sebagai Naked Boyz (tidak dijelaskan mengapa nama sebegini digunakan...), unit yang terdiri daripada 44 ahli ini digambarkan sebagai AKB48 versi lelaki, tetapi mereka masih belum membuktikan populariti mereka.

Semua ahli menghadiri sebuah acara kemunculan sulung mereka dan artis Haruna Ai muncul untuk bersorak buat mereka.

Usia 44 ahli kumpulan ini adalah di antara 16 hingga 30 tahun, dipilih melalui sesi uji bakat.

Aktiviti mereka berpangkalan di Shunjuku FACE, di mana mereka bercadang untuk melakukan beberapa persembahan pada setiap tahun. Kemunculan besar pertama mereka akan diadakan pada 5 November.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Produk Kipas Siling Kukuh Jenama KDK


Kawakita Denki Kigyosha adalah sebuah syarikat peralatan elektrik yang terkenal menerusi jenama KDK.

Kawakita Denki Kigyosha membawa maksud 'Syarikat Elelktrik Kawakita' adalah anak syarikat kepada Matsushita Ecology Systems Co. Ltd iaitu pecahan daripada syarikat Matsushita Electric Industrial Group.

KDK telah didaftarkan sebagai satu jenama pada tahun 1912, tetapi penubuhannya telah dilakukan tiga tahun sebelum itu iaitu pada tahun 1909.

Pada tahun 1956, KDK muncul menjadi sebahagian kongglomerat Matsushita dan syarikat Matsushita Seiko yang sebelum itu berpusat di Osaka, Jepun adalah syarikat yang mengendalikan proses pengilangan untuk KDK dan Panasonic tidak lagi beroperasi.

Jenama KDK semakin mencipta nama terutama menerusi produk kipas siling.

Kerja-kerja pengilangan yang dilakukan di Selangor, Malaysia pun telah dipindahkan ke Tanah Besar China pada tahun 2001. Kini, semua aktiviti pengilangan dilakukan di Shenzhen, Panasonic Air Works Co. Ltd.

Selain itu, pejabat jualannya kini ditempatkan di Hong Kong dibawah Matsushita Seiko Hong Kong International Manufacturing Company Ltd. atau dikenali sebagai 'Himco' sejak tahun 2001.

Pada tahun 2009, KDK telah meraikan sambutan ulang tahunnya ke 100 tahun. Pengedar pertama KDK adalah Abdulaziz & Sulaiman Saleh Al-Hakbamy Sons Trading Co. dari Arab Saudi.

Syarikat tersebut bermula sebagai pengedar produk KDK sejak tahun 1936.

Sementara itu, pengedar kedua pula adalah Puerto Rico sejak tahun 1940 dan pengedar terbarunya adalah La Innovaccion dari Republic Dominica pada tahun 2002 seterusnya diikuti syarikat OCS dari Jamaica pada tahun 2004.

Henmi Emiri Keluar Bertemu Janji dengan "Kamen Rider"


Henmi Meiri mempunyai teman lelaki baru. Majalah Shukan Josei mendedahkan kini dia sedang keluar bersama Matsuda Kenji (gambar) yang melakonkan Kamen Rider Zanki dalam siri Kamen Rider Hibiki.

Menurut majalah itu, mereka berdua mula berlakon bersama dalam sebuah filem pada tahun 2004. Semasa bekerjasama dalam lakonan pementasan pada Mei yang lalu, mereka mula bertemu janji. Pihak pengurusan kedua-dua pelakon ini telah mengesahkan hubungan mereka.

Henmi pernah berkahwin dengan pelawak Kimura Yuichi selama 2 tahun sebelum mereka bercerai pada April 2008.

Isnin, 9 Ogos 2010

Bangunan pejabat dianggap seperti PS3



Dipetik dari KOSMO! 9hb Ogos 2010

Osaka - Sebuah bangunan pejabat di sini kelihatan seperti alat permainan komputer terkenal di dunia, PS3 keluaran syarikat Sony, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, arkitek bangunan tersebut, Nikken Sekkei tidak dipersalahkan ekoran bangunan itu mirip bentuk PS3 kerana ia siap dibina tiga tahun lebih awal sebelum alat permainan berkenaan dijual.

Peminat-peminat PS3 menyebarkan gambar bangunan mirip permainan itu pada minggu lepas. - Agensi

Khamis, 5 Ogos 2010

Askar marin AS ditangkap cabul wanita

Dipetik dari KOSMO! 5hb Ogos 2010

Tokyo - Seorang askar marin Amerika Syarikat (AS) ditahan di Pulau Okinawa, Jepun semalam kerana didakwa melakukan serangan seks terhadap seorang wanita tempatan, lapor media dan polis.

Menurut laporan media, askar yang berumur 28 tahun itu menyerang wanita berkenaan berusia dalam lingkungan 20an semasa dia pulang ke apartmentnya pada pukul 3.50 pagi waktu tempatan.

Askar itu menolak wanita tersebut memasuki sebuah bilik dan menutup mulut dengan tangannya.

Menurut media, seorang jiran menghubungi polis dan askar tersebut ditangkap 15 minit selepas dia cuba melarikan diri. - AFP

Jumaat, 30 Julai 2010

Toyota panggil balik 412,000 kereta di AS

Dipetik dari KOSMO! 31hb Julai 2010

Tokyo - Syarikat Toyota Motors semalam memanggil balik 412,000 kereta penumpang yang sebahagian besarnya merupakan model Avalon di Amerika Syarikat (AS) ekoran masalah pada stereng yang menyebabkan tiga kemalangan telah berlaku.

Sebanyak 373,000 buah kereta Avalon yang dipanggil balik itu adalah model dari tahun 2000 hingga 2004.

Selain model tersebut, turut ditarik balik adalah 39,000 buah kereta mewah Lexus LX 470 dari tahun 2008 hingga 2007 kerana masalah stereng. - AP

Khamis, 29 Julai 2010

Norio ditahan berbogel

Dipetik dari KOSMO! 29hb Julai 2010

Pihak polis dilaporkan telah menahan pelakon alih suara animasi Jepun, Norio Imamura atas dakwaan telah meletakkan foto-foto bahagian bawah tubuhnya untuk disaksikan umum menerusi blog peribadi miliknya.

Menurut polis, Norio yang berusia 56 tahun itu telah menampilkan pelbagai foto yang dikatakan tidak senonoh itu bermula pada April lepas.

Menurut sumber, Norio sebenarnya seorang yang sangat obses dengan tatu dan telah menghiasi keseluruhan tubuhnya dengan tatu.

"Norio telah mula menghiasi tubuhnya dengan tatu sejak sedekad yang lalu, dan mahu menunjukkan fakta bahawa dia sudah habis meletakkan tatu pada keseluruhan tubuhnya," ujar sumber tersebut.

Sebagai pelakon alih suara, Norio paling diingati kerana meminjamkan suara untuk watak Emporio Ivankov, watak antagonis dalam siri animasi televisyen, One Piece.

Selasa, 27 Julai 2010

Bekas Vokalis Kagerou Meninggal pada usia 31 tahun

Oshia Daisuke, orang utama kumpulan Studs dan bekas vokalis kumpulan visual rock, Kagerou ditemui mati di rumahnya di Shibuya pada 15 Julai. Dia berusia 31 tahun.

Semasa satu pertemuan pada malam 14 Julai, Daisuke dikatakan merungut tidak dapat tidur. Seorang kakitangan yang risau tentangnya kemudian melawat rumah Daisuke pada keesokan hari dan mendapati Kagerou telah meninggal dunia.

Punca kematiannya masih belum diumumkan, tetapi ramai yang menjangka ia berkaitan dengan masalah jantung yang dihadapinya sejak kecil lagi.

Daisuke menubuhkan Kagerou pada tahun 1999. Kumpulan ini bubar pada tahun 2007 tetapi dia memulakan kumpulan baru, Studs pada tahun yang sama. Namun, kumpulan ini telah pun mendiamkan diri sejak tahun lalu. Projek solo Daisuke, Daisuke to Kuro no Injatachi baru dilancarkan pada bulan Jun dan dijadualkan untuk single kedua pada bulan ini.

Dir En Grey ke Amerika Utara


Sebuah lagi kumpulan J-rock akan ke Amerika Utara selain daripada X Japan.

Selepas mengumumkan persembahan di United Kingdom dan Rusia pada 1 Ogos dan 7 Ogos, Dir En Grey mengumumkan jelajah Amerika Utara mereka pada musim panas ini.

Kumpulan ini akan bekerjasama dengan kumpulan simfonik metal dari Finland, Apocalyptica untuk 15 pertunjukan di Amerika Syarikat dan Kanada, bermula di Toronto pada 23 Ogos dan tamat di Seattle pada 12 September.

Wanita di Jepun didapati hidup sehingga 86 tahun

Dipetik dari KOSMO! 27hb Julai 2010

Tokyo - Wanita Jepun dijangka hidup melebihi 86 tahun sekali gus mengungguli senarai jangka hayat dunia untuk 25 tahun berturut-turut, menurut satu laporan kerajaan yang disiarkan semalam.

Laporan statistik 2009 yang dikendalikan dan disiarkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan menunjukkan kadar jangka hayat kedua-dua wanita dan lelaki Jepun mencecah rekod baru iaitu 86.44 tahun bagi wanita serta 79.59 tahun untuk lelaki.

Peningkatan tersebut adalah hampir lima bulan bagi wanita dan empat bulan bagi lelaki berbanding purata jangka hayat pada tahun sebelumnya. - AP

Ahad, 18 Julai 2010

Piano, organ buluh ciptaan terawal Yamaha

Yamaha Corporation adalah sebuah syarikat multinasional dan konglomerat. Ia berpusat di Jepun dan menghasilkan pelbagai produk seperti peralatan elektronik, olahraga dan motosikal.

Bagaimana pun, pengeluaran utamanya adalah peralatan muzik seperti keybord, seruling, dram, biola, sello dan gitar.

Yamaha ditubuhkan pada tahun 1887 sebagai pengeluar piano dan organ buluh oleh Torakusu Yamaha di bawah nama syarikat Nippon Gakki Company Limited, beroperasi di Hamamatsu, Shizuoka.

Alat muzik terawal yang dihasilkan Yamaha adalah piano dan organ. Alatan muzik tersebut pada ketika itu dicipta menggunakan buluh.

Selain mencipta dan mengeluarkan produk alatan muzik, Yamaha turut mengeluarkan motosikal.

Pada Oktober 1987, iaitu sempena ulang tahunnya yang ke 100, Yamaha mengubah namanya sebagai Yamaha Corporation. Pada tahun 1989, Yamaha telah mencipta alat perakam CD pertama di dunia.

Sehingga kini, setelah mencapai usia 123 tahun, Yamaha terus berkembang menjadi pengeluar terbesar alat muzik di seluruh dunia.

Yamaha turut berjaya menjulang beberapa anugerah berprestij hasil ciptaan alat muzik yang mendapat perhatian seluruh dunia.


Antara penghargaan yang berjaya diraih adalah menerusi model Yamaha YPG-625 yang berjaya mendapat penghargaan sebagai Keybord of the Year pada tahun 2007 dari The Sound Music.

Selain itu, Yamaha Corporation turut dikenali seluruh dunia menerusi program pengajaran muzik yang mula ditubuhkan pada 1980an.

Khamis, 15 Julai 2010

Periuk tukarkan beras jadi roti


Dipetik dari KOSMO! 15hb Julai 2010

Tokyo - Syarikat pengeluar elektronik, Sanyo semalam melancarkan produk terbarunya iaitu 'periuk' yang boleh menukarkan beras menjadi roti.

Mesin itu boleh mengisar satu cawan beras menjadi tepung kemudian diadunkan dengan air, gluten, ragi dan bahan lain untuk membakar sebuku roti selama empat jam.

Nama yang diberikan untuk 'periuk' itu ialah GOPAN iaitu campuran perkataan gohan dalam bahasa Jepun bermaksud memasak nasi dan pan yang bermakna roti dalam bahasa Sepanyol.

Periuk itu akan dijual pada harga antara AS$ 560 (RM 1,793) hingga AS$ 670 (RM 2,146). - AFP

Selasa, 13 Julai 2010

Taku dari M-Flo Melancarkan Label Baru

Taku dari kumpulan hip-hop, M-Flo telah melancarkan label rakaman baru bernama TCY Recordings yang mensasarkan untuk memperkenalkan artis-artis berkebolehan ke taraf antarabangsa di dalam arena muzik tarian.

Taku dikatakan telah menemui artis di dalam dan di luar Jepun melalui MySpace.

Terbitan pertama label ini adalah pada 23 Jun yang menghasilkan muzik daripada empat artis untuk laman web yang berbeza seperti iTunes, Music Store, BEATPORT, WASABEAT dan Juno Records.

Artis-artis tersebut adalah Booty Bronx, Hoshina Anniversary, Teddyloid dan LaTourette. Sempena dengan pelancaran label ini, sebuah jelajah konsert yang bermula pada 25 Jun di Tokyo diadakan dan mereka akan menuju ke empat buah bandar.

Kimura Kaela Akhirnya Mencecah Tangga Pertama

Kebelakangan ini, banyak berita baik yang datang dari Kimura Kaela. Ring a Ding Dong, single pertama Kimura sejak pengumuman pertunangannya dengan Eita telah mendapat tangga pertama di dalam carta Oricon.

Lagu ini telah mendapat rekod 9 hari secara berturut-turut di tangga tertinggi carta perkhidmatan muat turun digital Chaku-Uta.

Ahad, 11 Julai 2010

Anak Patung Okiku



Anak patung misteri yang dirasuk oleh roh seorang budak perempuan telah menimbulkan tanda tanya di seluruh Jepun sejak berdekad lamanya. Anak patung Okiku yang diberikan nama sempena si pemiliknya yang bermain dengannya pada suatu masa dulu adalah anak patung setinggi 40cm yang memakai kimono dan mempunyai mata hitam dan rambut yang terus memanjang!

Anak patung Okiku telah disimpan di tokong Mannenji di bandar Iwamizawa, Wilayah Hokkaido sejak tahun 1938. Menurut pihak tokong tersebut, patung ini pada asalnya mempunyai rambut yang pendek, tetapi ia menjadi panjang sehingga 25cm ke paras lututnya. Walau pun rambutnya sering kali dipotong, ada laporan menyatakan ia akan tumbuh semula.

Dikatakan anak patung ini pada asalnya dibeli pada tahun 1918 oleh seorang budak lelaki berusia 17 tahun bernama Suzuki Eikichi sewaktu melawat pameran marin Sapporo. Dia membeli anak patung ini di Tanukikoji, jalan membeli-belah yang paling terkenal di bandar tersebut sebagai buah tangan untuk adiknya yang berusia 2 tahun bernama Okiku.

Budak perempuan itu sangat sukakan patung ini dan bermain dengannya pada setiap hari, tetapi selepas setahun dia mati akibat demam. Keluarga ini meletakkan anak patung di tempat penyembahan dan bersembahyang kepadanya pada setiap hari untuk mengingati Okiku. Beberapa tahun kemudian, mereka mendapati rambutnya mula tumbuh. Ini dilihat sebagai tanda roh gadis tersebut telah duduk di dalam anak patung itu.

Pada tahun 1938, keluarga Suzuki berpindah ke Pulau Sakhalin, Rusia dan mereka menempatkan anak patung ini di bawah jagaan tokong Manneji sehingga kini. Tidak ada siapa boleh menjelaskan mengapa rambut anak patung ini tumbuh. Namun, satu kajian saintifik menunjukkan patung ini mempunyai rambut seorang kanak-kanak perempuan.

Sabtu, 10 Julai 2010

Filem Arahan Oguri Telah Siap

Pelakon popular, Oguri Shun telah muncul dalam sidang akhbar untuk filem remaja arahannya, Surely Someday. Surely Someday adalah filem pertama arahannya dan dia mula terfikir tentang plot sejak dari remaja dan akhirnya, ia telah berjaya disiapkan.

Sebagai pengarah, dia selalu berharap setiap hari akan hujan supaya penggambaran akan ditangguhkan kerana terlalu gementar. Terdapat empat remaja berbakat turut berlakon dan dia yakin filem ini pasti hebat.

Pelakon utama, Koide Keisuke turut teruja semasa penggambaran pelajar sekolah perempuan berpakaian mandi dan ia adalah kali pertama dan terakhir Oguri mengambil kamera dan merakamkan penggambaran.

Koide Keisuke, Katsuji Ryo, Ayano Go dan Suzuki Ryohei akan membawa watak utama bersama dengan bintang hebat lain seperti Konishi Manami, Ueto Aya, Inoue Mao dan Tsumabuki Satoshi. Filem ini akan ditayangkan pada 17 Julai.

Uehara Miyu Memakan Umpan Ikan!

Uehara Miyu telah muncul di dalam program TV Nippon wo Tsuritai pada 27 Jun lepas. Ia adalah program khas tentang selebriti yang pergi memancing.

Dalam program ini, Miyu telah pergi memancing dan turut memakan umpan ikan! Baginya, rasa umpan itu sangat manis serta rangup dan merugikan kalau ia hanya digunakan sebagai umpan saja. Dia juga turut mengambil sotong yang ditangkapnya lalu menggigitnya!

Uehara Miyu terkenal kerana datang dari keluarga yang besar dengan mempunyai 10 orang saudara. Dia juga selalu bercakap tentang kemiskinan keluarganya yang selalu memakan rumput sebagai snek dan tidak memakai pakaian dalam ke sekolah kerana tak mampu membelinya. Harap-harap dia tak sakit perut.

Daito Shunsuke Terlibat Dalam Kemalangan Motosikal

Pelakon muda Daito Shunsuke (24) baru-baru ini terlibat dalam sebuah kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di daerah Setagaya pada 18 Jun lepas.

Daito mengalami kecederaan patah tulang paha dan didakwa bukan penyebab berlakunya kemalangan ini. Daito perlu dirawat di hospital selama dua minggu untuk pulih.

Daito kini muncul drama Tumbling terbitan TBS dan dijadualkan terlibat dalam rancangan Keishichou Keizoku Sousahan di TV Asahi bermula 22 Julai tetapi nampaknya kecederaan ini akan memberi kesan atas rancangan ini.

Penulis Manga Alive Telah Meninggal Dunia

Editor majalah Monthly Shonen telah mengumumkan bahawa penulis manga Tadashi Kawashima yang pernah menulis untuk manga Alive – The Final Evolution, telah meninggal dunia pada 15 Jun lalu akibat kanser hati. Mendiang berusia 45 tahun.

Menurut editor berkenaan, Kawashima masih meneruskan kerjanya walau pun terlantar di atas katil dan berjaya menyiapkan manga berkenaan pada Februari lalu.

Malah selepas menyiapkan Alive, mendiang meneruskan siri baru ketika bertarung dengan kaser yang dihadapinya.