Jumaat, 29 Julai 2011

Takero Sato Jadi Samurai X

Takero Sato akhirnya dipilih untuk membawakan watak utama adaptasi manga popular "Rurouni Kenshin" @ "Samurai X" yang bakal diterbitkan dalam bentuk filem aksi benar tidak lama lagi.

Menurut jurucakap Warner Bros, pihaknya memilih Sato kerana filem tersebut memerlukan pelakon yang berkaliber. "Semua orang tahu Rurouni Kenshin adalah hasil seni yang asli. Oleh yang demikian, kami memilih Sato untuk membawakan watak Himura." Kata jurucakap tersebut.

Sato yang sebelum ini dikenali menerusi filem Kamen Rider Den-O memberitahu, dia akan membawakan yang terbaik serta memastikan apa yang dilakukannya dalam filem tersebut selaras dengan karakter yang terdapat dalam manga.


Khamis, 21 Julai 2011

Aiba Masaki Dimasukkan Ke Hospital


Agensi pengurusan Johnny's Jimusho telah mengumumkan bahawa ahli Arashi, Aiba Masaki telah dimasukkan ke hospital disebabkan Pneumothorax (penyakit paru-paru).

Pada malam 28 Jun, Aiba mengadu sakit dada selepas selesai rakaman untuk rancangan televisyen Arashi ni Shiyagare. Dia telah dibawa ke hospital untuk diperiksa, dan doktor mengesahkan pneumothorax . Lalu Aiba ditempatkan ke dalam wad.

Aiba diperiksa sekali lagi pada keesokan pagi dan disahkan mengalami masalah dengan paru-paru kirinya. Dia dinasihatkan untuk terus berada di hospital selama seminggu. Disebabkan Aiba dimasukkan ke hospital, dia telah membatalkan semua temu bualnya. Dia juga tidak hadir untuk raptai Arashi pada 30 Jun dan 1 Julai untuk jelajah yang akan bermula pada 24 Julai ini.

Ini adalah kali kedua Aiba mengalami pneumothorax. Pada Mac 2002, dia mengalami masalah yang sama dengan paru-paru kanan kerana berlatih bermain saksofon terlalu kerap untuk sebuah projek rancangan televisyen. Dia menjalani pembedahan untuk rawatannya pada ketika itu, namun tidak perlu kali ini.


Rabu, 6 Julai 2011

Sekai no Owari Ke Aliran Utama


Kumpulan rock Sekai no Owari akan membuat kemunculan sulung mereka dengan label utama pada musim panas ini.

Mereka telah menandatangani syarikat rakaman Toy's Factory dan single pertama mereka INORI (Berdoa) akan dijual pada 17 Ogos. Selain itu, kumpulan ini telah menukar cara menulis nama mereka dari tulisan Jepun kepada Romaji: Sekai no Owari yang bermaksud ketamatan dunia.

Kumpulan ini ditubuhkan dan membuat persembahan beberapa tahun yang lalu, tetapi tidak pernah melancarkan single indie sehinggalah Februari 2010. Mereka semakin popular dan sebelum pengumuman ini mereka telah dijadualkan untuk mengadakan konsert Nippon Budokan pertama pada November tahun ini.

Single terbaru INORI mengandungi tiga buah lagu iaitu Kachofugetsu (Bunga, Burung, Angin, Bulan), Fushicho (Burung Kebal) dan Never Ending World.


Seiyu Kawakami Tomoko Meninggal Dunia

Pihak agensi Production Baobab mengumumkan pelakon suara (seiyu) Tomoko Kawakami telah meninggal dunia pada 9 Jun, pada usia 41 tahun selepas menderita kanser ovari sejak Ogos 2008. Dia adalah seiyu utama bagi siri Revolutionary Girl Utena, Hikaru no Go, Sugar: A Little Snow Fairy, Air dan banyak siri anime lain.

Kawakami membuat kemunculan pertama pada tahun 1994 untuk siri anime Metal Fighter Miku dan wataknya termasuklah Fuyuki Hinata (Keroro Gunso) dan Miu Furinji (Kenichi The Mightiest Disciple).

Kawakami dirawat sejak 2008 dan sejak itu mula menjalani pembedahan. Akibat sakit, dia terpaksa melepaskan watak Kaoru yang diadaptasi dari siri manga Ikoku Irokoi Romantan oleh Yamane.


Magazine E-no Akan Digantikan

Laman web Magazine E-no telah mengumumkan bahawa majalah itu akan menamatkan terbitannya pada isu ke-14 dan akan digantikan oleh majalah baru pada Oktober nanti.

Dalam pengumuman itu juga, tiga manga dari Magazine E-no; Sakura Taisen: Mangaban Dainibu (Sakura Wars Part 2) oleh Ikku Masa, Red Eyes oleh Jun Shindo dan Q.E.D oleh Motohiro Katou akan disambung dalam majalah baru.

Tentang tankobon bagi manga yang diterbitkan dalam majalah berkenaan pula akan diumumkan kemudian. Antara manga lain yang diterbitkan dalam Magazine E-no ialah Danshi no Majo oleh Ichiru Yasuhara, Golf 13 oleh Maruboro Akai, Hanbijiburu oleh Takeshi Hirai dan Meteo-san Strike Desu! oleh Takuji.