Isnin, 13 Jun 2011

Berita Baik Untuk Peminat Ouran & Hana-Kimi


Majalah LaLa isu Julai telah mengumumkan bahawa siri televisyen aksi benar berdasarkan manga komedi romantik Bisco Hitori, Ouran High School Host Club, bakal diterbitkan.

Siri yang akan ditayangkan di rangkaian TBS ini menampilkan Yusuke Yamamoto sebagai presiden kelab, Tamaki Suoh, dan Haruna Kawaguchi sebagai heroin, Haruhi Fujioka.

Ia mengisahkan pelajar baru, Haruhi, yang menyamar sebagai budak lelaki supaya dapat menyertai kelab host bagi menyelesaikan hutangnya.



Dalam pengumuman yang lain, Atsuko Maeda dari kumpulan AKB48 akan memegang watak utama pertamanya dalam siri Hana Zakari no Kimi tachi e ~Ikemen Paradise~, siri aksi benar baru yang akan ditayangkan di Fuji TV pada Julai nanti.

Manga ini telah pun diadaptasi sebagai siri aksi benar dengan tajuk sama pada 2007, dibintangi oleh Maki Horikita, Shun Oguri dan Toma Ikuta. AKB48 akan menyanyikan lagu tema siri baru ini dan single tersebut dijadualkan dipasaran pada Ogos nanti.



Idola Virtual Hatsune Miku di Anime Expo



Persatuan Promosi Animasi Jepun telah mengumumkan bahawa idola virtual, Hatsune Miku, akan “membuat persembahan” dalam konsert yang diadakan pada 2 Julai di Anime Expo. Karakter ini pernah “muncul” dalam konsert di Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara lain menerusi skrin.

Menurut laman web rasmi, konsert ini akan menampilkan beberapa pembaharuan dari acara asal, 39’s Giving Day, yang diadakan di Jepun pada 9 Mac 2010.

Visual untuk konsert baru ini akan dihasilkan oleh SEGA dengan kerjasama Crypton Future Media, syarikat yang mencipta Hatsune Miku pada 2007.

Pengumuman Mengejut Uji Bakat Ahli Baru S/mileage Daripada Tsunku



Pada 29 Mei, kumpulan idola Hello! Project, S/mileage mengadakan acara untuk meraikan ulang tahun pertama kemunculan label utama mereka. Dalam acara tersebut, sebuah video pesanan daripada produser Tsunku yang mengejutkan telah mengumumkan kumpulan itu akan mengadakan uji bakat untuk ahli baru yang hanya dibuka kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi.

Dalam pesanan video tersebut, Tsunku mengucapkan tahniah kepada empat ahli S/mileage, tetapi secara tiba-tiba mengesahkan “S/mileage kekurangan sesuatu.” Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk mengadakan uji bakat pertama kumpulan ini.

Berita ini mengejutkan semua peminat dan juga kumpulan ini. Menurut Tsunku, ada kemungkinan ada ahli yang akan ditendang dan menimbulkan kekecohan di kalangan peminat.

Bilangan rekrut baru masih belum ditentukan, tetapi ia mungkin diadakan seawal September. Temu bual untuk uji bakat akan diadakan di Shibuya pada tiga hujung minggu pertama bulan Jun.

Pemohon yang lulus akan diumumkan pada 14 Ogos. Dikatakan Tsunku dan ahli-ahli S/mileage mungkin akan menghadiri temu bual tersebut. S/mileage kini terdiri daripada Ogawa Saki, Maeda Yuka, Wada Ayaka dan Fukuda Kanon.

Jumaat, 3 Jun 2011

Zone Bergabung Semula Hanya Pada Ogos

Masih ingat Zone? Band yang terdiri daripada empat gadis pada 10 tahun yang lalu akan bergabung semula untuk sebuah single pada bulan Ogos nanti.

Walau pun pemain dram Mizuhi telah bersara dari dunia hiburan, penggabungan semula ini akan menyatukan tiga ahli yang lain iaitu Miyu, Maiko dan Tomoka.

Zone membuat kemunculan sulung mereka pada tahun 2001 dan akhirnya dibubarkan pada tahun 2005. Mereka mengambil keputusan untuk kembali bersama pada bulan Ogos 2011 yang menandakan ulang tahun ke 10 lagu popular mereka, Secret Base: Kimi ga Kureta Mono (Secret Base: Benda Yang Awak Berikan).

Dengan itu, mereka telah merealisasikan lirik lagu mereka yang berbunyi, "Percayalah kita akan bertemu semula pada bulan Ogos sepuluh tahun kemudian."

Kumpulan ini akan mengadakan dua konsert penyatuan pada 14 dan 15 Ogos di Akasaka Blitz, Tokyo.

Selain itu, Zone juga akan melancarkan album pada 10 Ogos berjudul Zone Tribute~Kimi ga Kureta Mono~. Album ini menampilkan artis-artis wanita daripada generasi yang sama dengan Zone menyanyikan lagu mereka.

Konsert Ulang Tahun L' Arc~en~Ciel Ditayangkan Secara Langsung di Pawagam Jepun & Luar Negara

Tayangan langsung (live streaming) konsert di pawagam telah menjadi trend insudtri muzik Jepun dan L' Arc~en~Ciel melangkah lebih jauh dengan membawanya ke luar negara.

Konsert ulang tahun kumpulan ini di Ajinomoto Stadium pada 28-29 Mei ditayangkan secara langsung ke 40 pawagam di seluruh Jepun dan 6 pawagam di luar Jepun, namun akan ada sedikit kelewatan disebabkan perbezaan zon masa.

Pawagam di luar negara adalah di Paris, London, New York, Taipei, Hong Kong dan Seoul. Dua konsert tersebut diadakan sempena ulang tahun yang ke 20 kumpulan rock gergasi ini.

Pada hujung Mac, L' Arc~en~Ciel mengumumkan mereka telah mengambil keputusan untuk menyumbangkan semua kutipan konsert ini ke bantuan bencana, manakala sebahagian daripada kutipan di pawagam juga akan disumbangkan.